JENAYAH & MAHKAMAH

Pembekuan Perolehan: MINDEF Mohon Pertimbangan Jika Kesiagaan ATM Terjejas

21/01/2026 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memohon pertimbangan kerajaan untuk meneruskan perolehan aset tertentu sekiranya pembekuan semasa didapati menjejaskan operasi dan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata walaupun semua perolehan ketika ini dibekukan dan tertakluk kepada kelulusan menteri, keutamaan MINDEF kekal kepada kelangsungan operasi pertahanan negara.

“Sekiranya terdapat perolehan yang berpotensi menjejaskan operasi dan kesiagaan ATM, kita akan merujuk perkara itu kepada kerajaan serta memohon agar perolehan berkenaan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata ATM melaksanakan operasi berterusan bagi menjaga keselamatan perairan strategik negara, termasuk Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu, selain kawalan sempadan darat serta maritim dengan lima negara jiran.

“ATM juga mempunyai penugasan berterusan di pulau-pulau sepanjang pantai timur Sabah bagi menangani ancaman keselamatan dari selatan Filipina. Semua ini merupakan operasi aktif yang dilaksanakan secara berterusan,” katanya.

Mohamed Khaled menegaskan sebarang keputusan perolehan akan dibuat dengan mengutamakan keperluan operasi semasa serta kepentingan keselamatan negara.

Pembekuan semua perolehan oleh MINDEF dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas sebagai sebahagian langkah penilaian dan penambahbaikan tadbir urus perolehan kerajaan.

“MINDEF memahami keperluan kerajaan untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, namun aspek kesiagaan pertahanan tidak boleh dikompromi. Jika pembekuan ini memberi kesan langsung kepada keupayaan ATM, kita akan mengemukakan permohonan khusus untuk pertimbangan kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514961