PASARAN

Pasaran Getah Pulih Disokong Kenaikan Serantau

21/01/2026 06:27 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur mengakhiri kerugian baru-baru ini dengan ditutup tinggi pada Rabu, disokong peningkatan niaga hadapan getah serantau dan penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Seorang peniaga berkata sentimen pasaran turut dirangsang oleh jangkaan langkah rangsangan tambahan daripada Beijing bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Menurut laporan China merancang untuk memperkenalkan langkah baharu bagi menggalakkan penggunaan perkhidmatan, dengan bergantung kepada sektor penjagaan warga emas, penjagaan kesihatan dan rekreasi bagi mengimbangi permintaan barangan yang lemah.

“Bagaimanapun, potensi kenaikan selanjutnya dihadkan oleh petunjuk harga minyak mentah yang bercampur-campur serta ketidaktentuan geopolitik global yang berterusan,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, minyak mentah Brent susut 1.45 peratus kepada US$63.93 setong.

Pada 3 petang, Getah Mutu Malaysia (SMR) 20 meningkat dua sen sekilogram (kg) kepada 743.5 sen/kg, manakala lateks pukal naik satu sen kepada 576.00 sen.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515158