EKONOMI

Bakal Disenarai Di Pasaran ACE, Ambest Sasar Raih RM27.50 Juta Daripada IPO

21/01/2026 02:22 PM

PETALING JAYA, 21 Jan (Bernama) -- Ambest Group Bhd, penyedia perkhidmatan sokongan kejuruteraan yang mengkhusus dalam pemesinan ketepatan, menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM27.50 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 6 Feb, 2026.

IPO itu merangkumi terbitan sebanyak 110 juta saham baharu pada harga 25 sen sesaham.

Ambest berkata daripada hasil yang terkumpul, kira-kira RM12.0 juta akan digunakan untuk membayar balik pinjaman bank, terutamanya bagi pembelian Kilang 42A miliknya di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Sebanyak RM3.9 juta lagi akan diperuntukkan bagi pembelian mesin baharu, manakala kira-kira RM6.8 juta diperuntukkan untuk keperluan modal kerja.

Sementara baki RM4.8 juta akan digunakan bagi menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Pengarah Urusan Tan Beng Beng berkata syarikat akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan teras pemesinan ketepatannya selepas penyenaraian, khususnya dalam memenuhi keperluan pelanggan dalam industri semikonduktor.

“Kami juga akan terus meningkatkan piawaian kualiti yang sentiasa menjadi penekanan pihak pengurusan, dan penyenaraian ini menandakan permulaan fasa baharu bagi syarikat,” katanya kepada pemberita pada sidang media sempena pelancaran prospektus syarikat di sini hari ini.

Tan berkata pelan pengembangan Ambest dipacu oleh Kilang 42A, iaitu kemudahan pengeluaran baharu kumpulan itu.

Kilang ini bertujuan menyokong tempahan baharu daripada pelanggan baharu, selain menampung peningkatan tempahan daripada pelanggan sedia ada, katanya.

Mengenai fasa pertumbuhan seterusnya, beliau berkata Ambest akan menumpukan usaha untuk memperkukuh keupayaan dalaman, termasuk mendapatkan pensijilan tambahan bagi persediaan memasuki industri yang lebih dikawal selia.

“Ketika ini, kumpulan telah memperoleh pensijilan ISO 9001 dan ISO 14001, dan sedang berusaha mendapatkan pensijilan lanjut termasuk ISO 13485 sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang,” katanya.

Tan berkata Ambest merancang untuk membeli dua mesin canggih tambahan yang dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengeluaran keseluruhan kira-kira empat peratus.

Bahagian terbitan awam bagi IPO itu dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, Isnin, 27 Jan, 2026.

Malacca Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO Ambest, manakala WYNCORP Advisory Sdn Bhd merupakan penasihat kewangan korporat bagi pelaksanaan tersebut.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2514968