KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Perak Transit Bhd melantik Ismail Jamal sebagai Pengurus Besar berkuat kuasa hari ini.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata Ismail, 46, pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) daripada Universiti Teknologi MARA dan merupakan Juruaudit Dalaman Bertauliah untuk Sistem Pengurusan Kualiti (ISO 9001:2008).
Ia berkata Ismail berpengalaman lebih 20 tahun dalam jawatan korporat dan komersial merentas pelbagai sektor, termasuk pengangkutan, minyak dan gas, automotif, peruncitan bahan api, peralatan perubatan dan pentadbiran awam.
“Beliau juga pernah memegang jawatan strategik dalam Kerajaan Negeri Perak, termasuk sebagai Ketua Unit Komunikasi Strategik dan Pegawai Khas Kanan bagi tugas-tugas khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” kata syarikat itu.
Perak Transit berkata sebelum ini, Ismail juga pernah memegang jawatan kanan dalam sektor swasta dan awam, termasuk sebagai Pengurus Kawasan Petronas untuk Perniagaan Komersial (hiliran), di mana beliau menguruskan rangkaian pengedar dan berunding untuk kontrak komersial di seluruh wilayah utara.
-- BERNAMA