JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Dua Lelaki, Rampas Serbuk MDMA Bernilai RM1 Juta

21/01/2026 10:20 PM

GEORGE TOWN, 21 Jan (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dan merampas dadah jenis serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM1 juta menerusi penahanan dua lelaki tempatan secara berasingan di kawasan Bukit Mertajam Seberang Perai Tengah, semalam.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata suspek berusia 33 dan 41 tahun ditahan dalam operasi oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dari 2 petang hingga 12 tengah malam susulan maklumat serta risikan dilakukan.

“Serbuan pertama menahan suspek di kawasan parkir dan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan membawa kepada penemuan satu kotak berwarna coklat mengandungi pelbagai bungkusan serbuk disyaki dadah jenis MDMA.

“Polis menemukan sejumlah 271 peket pelbagai jenama dan warna mengandungi serbuk MDMA dengan berat keseluruhan dianggarkan 6,155 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Alwi berkata tangkapan itu membawa kepada penahanan suspek kedua di kawasan berdekatan.

Beliau berkata jumlah dadah dirampas boleh digunakan oleh 50,000 penagih dengan sindiket itu dipercayai aktif sejak Oktober tahun lepas.

Beliau berkata dua suspek itu didapati positif ketamin serta mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah.

Suspek direman sehingga 27 Jan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515287