PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Permohonan kemasukan pelajar Sesi Akademik 2026/2027 ke program sijil, asasi, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline dibuka mulai 29 Jan hingga 23 Mac 2026, bagi permohonan Fasa Pertama dan dari 13 April hingga 15 Mei 2026 untuk Fasa Kedua.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan permohonan dibuka bagi kemasukan ke 20 Universiti Awam (UA), 36 Politeknik, 106 Kolej Komuniti (KK) dan dua institusi MARA Bahagian Pendidikan Tinggi (MARA BPT).
Menurut kenyataan KPT, permohonan terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf bagi semua program pengajian untuk permohonan Fasa Pertama manakala hanya program pengajian tidak bertemu duga dan atau tanpa ujian, dibuka bagi Fasa Kedua.
"Semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.
"Terdapat sebanyak 363 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,146 program pengajian ditawarkan kepada lepasan STPM atau setaraf oleh UA, Politeknik, KK dan MARA BPT seluruh negara," menurut kenyataan itu.
Kenyataan KPT itu memaklumkan pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) di 387 Kaunter Cawangan BSN, 843 mesin teler automatik (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN mulai 28 Jan sebelum mengemukakan permohonan, dengan harga RM10.60 (termasuk cas perkhidmatan).
"BSN akan mengeluarkan Nombor Pin berserta salinan resit pembayaran. Pemohon diminta untuk memastikan slip pembayaran disimpan untuk rujukan sebagai bukti sah pembelian," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA