KOTA BHARU, 22 Jan (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 27 penjawat awam di Kelantan bagi tempoh 2023 hingga kini.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata bagi tempoh sama, sebanyak 406 maklumat pelbagai kesalahan telah diterima membabitkan penjawat awam, swasta, pertubuhan, politik, institusi kewangan serta orang awam berkaitan kesalahan menerima dan memberi rasuah, tuntutan palsu dan salah guna kuasa.
“Kertas siasatan telah dibuka bagi menjalankan siasatan secara terbuka melibatkan individu dari pelbagai jabatan dan latar belakang, sama ada penjawat awam (Kerajaan Persekutuan/Kerajaan Negeri,” katanya ketika bersiaran langsung pada Program Bual Bicara RTM Kelantan di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Azam berkata tiga kertas siasatan telah dibuka melibatkan penyalahgunaan dana awam oleh badan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata beberapa NGO yang memperoleh peruntukan daripada kerajaan juga dikesan menyalahgunakan dana berkenaan.
“Ada NGO yang dapat bantuan daripada kerajaan tetapi disalah guna. Perkara ini turut melibatkan koperasi serta syarikat yang mendapat pinjaman juga dikesan menyeleweng dana berkenaan.
“Selain itu, isu perolehan membabitkan pembangunan, pembelian aset membabitkan 26 kertas siasatan dibuka. Perolehan semua negeri adalah sama, perolehan ini menyebabkan ketirisan yang besar,” katanya.
Beliau juga sudah mengarahkan pegawai SPRM untuk lebih proaktif pada tahun ini, bagi mengurangkan kes berkaitan termasuk dalam pelbagai isu seperti mineral, isu kecurian hutan dan penerokaan tanah secara haram.
-- BERNAMA