PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melakar pencapaian signifikan dalam reformasi penyampaian perkhidmatan awam, apabila berjaya memproses 98.49 peratus permohonan Bantuan Wang Ihsan (BWI) bagi Monsun Timur Laut (MTL) 2025/2026, setakat semalam.
Ketua Pengarah NADMA Meor Ismail Meor Akim menerusi satu kenyataan hari ini berkata sebanyak RM78.342 juta telah dibayar terus kepada 78,342 Ketua Isi Rumah terkesan, sejak MTL bermula pada 13 Nov tahun lepas.
“Transformasi ini menyaksikan tempoh pembayaran BWI dipendekkan secara drastik kepada purata kurang 14 hari bekerja pada episod satu dan dua MTL.
“Pada episod MTL seterusnya purata kurang tiga hingga tujuh hari bekerja selepas pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup, berbanding proses sebelum ini yang lazimnya mengambil masa lebih enam bulan,” katanya.
Beliau berkata kejayaan ini merupakan hasil kerjasama strategik antara NADMA, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Bank Simpanan Nasional (BSN), melalui inisiatif pendigitalan mengunakan aplikasi My Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah agenda Kerajaan MADANI.
“Aplikasi MYIBJKM hanya boleh mengimbas kod QR unik PPS berdekatan, yang mempunyai perimeter geo-fencing 60 meter, agar hanya mangsa dari kediaman terkesan yang ke PPS tersebut sahaja boleh mengimbas kod QR dan memohon BWI.
“Bukti pendaftaran dan permohonan BWI kini di tangan pemohon yang tersimpan dalam aplikasi MyIBJKM,” katanya.
Meor Ismail berkata setiap mangsa yang layak menerima bantuan RM1,000, sama ada mereka menetap atau tidak di PPS akan menerima notifikasi SMS memaklumkan sama ada bantuan dikreditkan terus ke akaun pemohon.
“Mereka juga boleh hadir untuk kutipan tunai di kaunter BSN. Kaedah ini dilaksanakan bagi mengurangkan karenah birokrasi dan keperluan dokumen fizikal serta pengesahan yang berlapis-lapis dalam pelbagai peringkat,” katanya.
Bagi memastikan tiada mangsa yang tercicir, beliau berkata NADMA sedang memberi tumpuan untuk menyelesaikan baki permohonan yang berstatus kuiri atas beberapa faktor, antaranya terdapat pemohon bukan dari rumah kediaman persendirian.
Faktor lain ialah alamat yang sama oleh pemohon berlainan, maklumat ahli keluarga yang tidak lengkap, dan permohonan berganda daripada ahli isi rumah yang sama.
“Bayaran akan diselesaikan segera sebaik sahaja pemohon mengemas kini MyIBJKM dengan maklumat dan alamat seperti di bil utiliti,” katanya.
-- BERNAMA