DUNIA

Lebih 160 Ahli Parlimen Dijangka Sertai Parti Pembangkang Baharu Jepun

22/01/2026 08:39 PM

TOKYO, 22 Jan (Bernama-Kyodo) -- Lebih 160 ahli Parlimen Jepun dijangka menyertai parti pembangkang baharu sederhana (centrist) ketika parti itu mengadakan konvensyen pada Khamis bagi menandakan pelancaran rasminya menjelang pilihan raya mengejut Dewan Perwakilan bulan depan.

Menurut Kyodo News, Perikatan Pembaharuan Sederhana (Centrist Reform Alliance) yang ditubuhkan susulan perjanjian minggu lepas antara parti pembangkang utama iaitu Parti Demokratik Perlembagaan Jepun (CDPJ) dan Parti Komeito, menyasarkan untuk menampilkan lebih 200 calon, termasuk yang dipilih menerusi pengambilan terbuka, menurut pemimpin kanan kedua-dua parti.

Ikrar kempen bagi pemilihan pada 8 Feb ini akan diumumkan selepas konvensyen berkenaan, dengan barisan baharu itu berusaha menewaskan blok pemerintah konservatif yang diterajui Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Perdana Menteri Sanae Takaichi, bekas sekutu lama Komeito.

Antara manifesto kempen termasuk memansuhkan secara kekal cukai penggunaan lapan peratus ke atas produk makanan mulai musim luruh ini, menurunkan premium insurans sosial, membenarkan pasangan berkahwin menggunakan nama keluarga berasingan serta menyediakan subsidi sewa.

Setakat Khamis, sebanyak 144 daripada 148 ahli Dewan Perwakilan CDPJ dan 21 daripada 24 ahli Komeito dijangka menyertai perikatan itu, bersama yang lain termasuk wakil bebas.

Sebagai langkah sementara, ahli CDPJ dan Komeito menguruskan parti baharu itu serta hal berkaitan pilihan raya akan datang. Ketua CDPJ Yoshihiko Noda dan pemimpin Komeito Tetsuo Saito berkhidmat sebagai pengerusi bersama.

Takaichi, yang dilantik pada Oktober, mengumumkan pada Isnin akan membubarkan Dewan Perwakilan pada Jumaat iaitu hari pembukaan sidang atau sesi Diet tahun ini, dengan tujuan untuk meraih lebih banyak sokongan terhadap Kabinetnya.

Gabungan pemerintah yang dibentuk oleh LDP dan Parti Inovasi Jepun pada Oktober memiliki majoriti tipis di Dewan Perwakilan dan kekal sebagai minoriti di Dewan Kaunselor.  

Noda dan Saito berikrar untuk menyatukan kuasa sederhana bagi memberi alternatif dalam landskap politik Jepun yang cenderung ke arah haluan kanan dengan mengambil kira pandangan tegas Takaichi mengenai keselamatan serta kebangkitan terkini gerakan pembangkang populis.

-- BERNAMA-KYODO

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515711