EKONOMI

DXN Meterai MoU Dengan Apex-Brasil Untuk Teroka Brazil, Intai Pelaburan US$50 Juta

22/01/2026 08:57 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- DXN Holdings Bhd (DXN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Agensi Promosi Perdagangan dan Pelaburan Brazil (Apex-Brasil) untuk meneroka Brazil sebagai hab serantau yang berpotensi bagi operasi Amerika Latinnya.

Langkah itu melibatkan pelaburan berpotensi sekitar US$50 juta.

Pengasas dan Pengerusi Eksekutif DXN Datuk Lim Siow Jin berkata Amerika Latin muncul sebagai satu daripada wilayah yang berkembang paling pesat bagi kumpulan itu, dipacu oleh penerimaan pengguna yang kukuh dan permintaan jangka panjang terhadap produk kesihatan dan kesejahteraan.

“Brazil, secara khusus mewakili pasaran yang strategik dan selari dengan aspirasi kemampanan global serta objektif pertumbuhan jangka panjang kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu diadakan di Brasília, Brazil dan disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif DXN Prajith Pavithran serta Presiden Apex-Brasil Jorge Ney Viana Macedo Neves.

Sementara itu, Prajith berkata MoU berkenaan menyediakan rangka kerja yang tersusun dan difasilitasi oleh kerajaan bagi DXN untuk menilai peluang secara sistematik di Brazil.

“Dengan kerjasama rapat bersama Apex-Brasil, kami akan menjalankan penilaian kebolehlaksanaan yang terperinci, pemetaan kawal selia dan penilaian rakan kerjasama bagi menentukan laluan yang paling sesuai untuk pengembangan berpotensi,” katanya.

DXN merupakan pengeluar global terkemuka produk nutraseutikal.

Kumpulan itu berkata kedua-dua pihak akan meneroka amalan pertanian lestari, penyumberan bertanggungjawab dan inisiatif pembangunan komuniti yang selaras dengan piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), bagi menyokong penciptaan nilai jangka panjang di seluruh Amerika Latin.

Di bawah MoU tersebut, Apex-Brasil akan memudahkan pertukaran maklumat mengenai prosedur pelaburan, rangka kerja kawal selia selain akses pasaran, menyokong pembangunan serta pendaftaran produk berasaskan ganoderma dan cendawan berkaitan.

 Selain itu, Apex-Brasil akan menghubungkan DXN dengan rakan industri, pengedaran dan penyelidikan yang relevan.

“DXN akan menilai peluang dalam pengeluaran, pemprosesan dan pengedaran pertanian serta bekerjasama dalam menilai Brazil sebagai pangkalan strategik yang berpotensi bagi operasi Amerika Latinnya, selaras dengan prinsip kemampanan dan ESG kumpulan,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA


 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515717