AM

RPTM 2026-2035 Pastikan Bakat Cemerlang Tidak Tercicir Dalam Pendidikan Negara

23/01/2026 12:14 PM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 23 Jan (Bernama) -- Peluasan akses pendidikan tinggi di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 akan memastikan bakat cemerlang tidak tercicir daripada sistem pendidikan tinggi negara. 

Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata RPTM 2026-2035 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, bermatlamat besar untuk menghasilkan pembina negara yang berpaksikan kemanusiaan dan dipacu matlamat.  

“Bagi saya insentif (di bawah RPTM) adalah untuk memastikan akses kepada pelajar cemerlang tidak terhalang. Dasar yang diumumkan oleh Perdana Menteri menunjukkan bahawa kerajaan ingin menambah akses secara inklusif contohnya dasar terhadap pelajar cemerlang tidak boleh diketepikan.

“Pelajar cemerlang perlu diberi peluang untuk memasuki Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk menjadi insan yang bakal membantu membina negara,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Farhan berkata menerusi rancangan itu juga, akses turut diberi kepada pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) dan pelajar daripada keluarga miskin untuk memasuki universiti dengan lebih meluas. 

“Ini adalah amat penting kerana kita perlu memberi peluang kepada semua pihak secara inklusif untuk masuk ke dalam universiti,” katanya sambil menambah bahawa aspek kemudahan pelajar turut diberi perhatian oleh Kerajaan MADANI. 

Mengenai pemerkasaan subjek Mata Pelajaran Umum (MPU), beliau berkata intipati kursus ini adalah untuk memberi peringatan, pendedahan dan kefahaman terhadap Perlembagaan dan sejarah negara.

“Dalam kita membina masa hadapan negara melalui pembina negara yang akan datang melalui pelajar dan graduan, dia (mereka) perlu berpaksikan kemanusiaan.

“Saya yakin melalui kursus MPU ini dan usaha kita di universiti, insya-Allah boleh membentuk mereka untuk menjadi individu hebat yang bakal memberikan masa hadapan yang cemerlang untuk negara kita,” katanya. 

RPTM 2026-2035 yang dilancarkan Perdana Menteri pada 20 Jan, menggariskan hala tuju baharu pendidikan tinggi negara yang berteraskan nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kemampanan bagi melahirkan insan berilmu, beretika serta berdaya saing pada peringkat global.

Antara perkara yang diumumkan ialah MPU yang merangkumi pendidikan Perlembagaan dan sejarah Malaysia akan dimasukkan ke dalam kurikulum universiti awam dan swasta.

Selain itu, pelajar dengan PNGK 4.0 Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) , matrikulasi dan asasi dijamin tempat di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 3,000 pelajar OKU di IPTA, politeknik dan kolej komuniti akan menerima pendidikan percuma.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2515848