KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Polis menahan 14 lelaki dan empat wanita dalam serbuan di sebuah kondominium di Sentul di sini semalam yang dijadikan mini kasino sejak November lepas.
Operasi bermula 10 malam itu dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Gengsterisme (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur bersama D7 Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
JSJ Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan 18 individu terdiri daripada 14 lelaki dan dua wanita tempatan serta dua wanita warga asing masing-masing dari Vietnam dan Thailand ditahan dalam operasi terbabit.
“Operasi mini kasino itu tidak didalangi oleh mana-mana sindiket dan sasaran premis yang disewa itu adalah kenalan rapat atau jemputan tertentu bagi mengelak dikesan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas sebuah meja poker, lapan kerusi, 52 keping daun terup termasuk 625 cip pelbagai warna yang bernilai RM19,325.
"Kesemua yang ditahan direman selama dua hari hingga esok dan kes disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA