EKONOMI

Prestasi Ringgit Antara Terbaik Di Asia, Hasil Tatakelola Baik - PM Anwar

24/01/2026 01:57 PM

BUKIT MERTAJAM, 24 Jan (Bernama) -- Prestasi ringgit kini berada antara yang terbaik di Asia membuktikan keberkesanan dasar tatakelola, kestabilan politik dan keyakinan pelabur terhadap hala tuju ekonomi negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengukuhan nilai ringgit juga adalah hasil daripada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan keamanan negara, pentadbiran cekap serta ketegasan dalam membanteras rasuah dan penyelewengan.

“Ringgit mencatatkan prestasi terbaik di Asia, bukan berbanding dengan negara-negara jiran tetapi seluruh Asia. 

“Oleh sebab itu, kita kena kerja kuat, jaga negara dan ia bermula dengan tatakelola. Jangan ada duit lebih, masuk dalam poket, ambil komisen,” kata beliau pada Karnival Kebudayaan MADANI dan Kenduri Rakyat Pulau Pinang 2026 di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah, Permatang Pasir di sini hari ini.

Pada Jumaat, ringgit melepasi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992, dengan kali terakhir ringgit berada pada paras itu pada 18 Jun 2018 yang mencecah 3.9960/9990.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata sumbangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan lain amat penting dalam menjamin kestabilan negara, yang menjadi asas kepada pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pelabur.

Beliau turut menegaskan kerajaan tetap bersikap tegas terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan, termasuk dalam perolehan aset pertahanan.

Bagaimanapun, katanya ia tidak sepatutnya menghakis kepercayaan terhadap keseluruhan institusi keselamatan negara.

Menyentuh soal kebajikan rakyat, Perdana Menteri berkata kerajaan telah meningkatkan peruntukan bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan jumlah keseluruhan RM15 bilion, selain kenaikan gaji penjawat awam melibatkan tambahan RM18 bilion tahun ini.

Anwar menjelaskan hasil penyasaran subsidi serta usaha membanteras rasuah dan ketirisan membolehkan kerajaan menjimatkan sekali gus dapat meningkatkan peruntukan kepada rakyat termasuk STR, SARA dan gaji penjawat awam.

Beliau berkata kerajaan tidak mengenakan cukai baharu kepada golongan berpendapatan rendah, sebaliknya mengekalkan subsidi RON95 dan memastikan 85 peratus rakyat tidak terkesan dengan kenaikan tarif elektrik.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Zarif Hashim menyerahkan surat lantikan kepada tujuh kontraktor bumiputera bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang Laluan Mutiara dengan disaksikan Anwar.

Mereka merupakan antara penerima 10 pakej kerja Projek LRT Laluan Mutiara sejajar dengan Program Pembangunan Bumiputera yang dilaksanakan MRT Corp. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516240