AM

Kerajaan MADANI Komited Bekal Elektrik Ke Sekolah Pedalaman Sarawak

24/01/2026 07:31 PM

KAPIT, 24 Jan (Bernama) -- Kerajaan MADANI meneruskan komitmen memastikan bekalan elektrik 24 jam yang stabil di sekolah pedalaman Sarawak dengan pelaksanaan Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik bagi tempoh 2025 hingga 2027.

Projek yang dilaksanakan menerusi Kementerian Kerja Raya itu melibatkan 121 sekolah luar bandar di Sarawak dan bertujuan menggantikan penggunaan janakuasa diesel yang mahal serta sukar diselenggara, khususnya di kawasan pedalaman.

“Pelaksanaan sistem solar hibrid ini membolehkan penjimatan kos operasi dan penyelenggaraan sehingga 80 peratus, bersamaan kira-kira RM90 juta setahun berbanding penggunaan diesel,” kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Projek Siap Sistem Solar Hibrid di Sekolah Kebangsaan Nanga Bangkit, Katibas, Song, hari ini.

Menurutnya, kerajaan telah memperuntukkan RM274.5 juta di bawah Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Nanta berkata setakat ini, 97 sekolah telah siap dan beroperasi sejak 2023, manakala 15 sekolah lagi disiapkan dan diserahkan pada November 2025, dengan baki sembilan sekolah dijadualkan siap secara berperingkat pada 2026 dan 2027.

Majlis sama turut menyaksikan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) bagi tiga pakej kontrak penyelenggaraan sistem solar hibrid bagi tempoh 2025 hingga 2027 bagi memastikan kelangsungan operasi sistem tersebut.

Menteri itu berkata projek berkenaan juga menyokong penggunaan teknologi hijau melalui sistem penstoran tenaga moden menggunakan bateri lithium dan sodium, sekali gus mengurangkan pelepasan karbon dioksida serta membuka peluang pembangunan kepakaran tempatan dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.

Secara keseluruhan, inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 3,000 murid dan hampir 2,000 guru di pedalaman Sarawak, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan luar bandar secara adil, inklusif dan mampan.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Nanta memberitahu kerajaan memperuntukkan lebih RM30 juta bagi melaksanakan Pakej 2 projek baik pulih sistem solar hibrid melibatkan 43 buah sekolah di seluruh Sarawak yang mengalami kerosakan akibat banjir sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beliau berkata projek berkenaan merangkumi sekolah di kawasan luar bandar termasuk di daerah Song, Kapit dan kawasan pedalaman lain, dengan Sekolah Kebangsaan Lubuk Bedil di kawasan DUN Katibas antara sekolah yang terlibat.

“Kebanyakan sistem solar hibrid di sekolah terlibat mengalami kerosakan serius, terutama pada komponen bateri dan inverter susulan banjir awal 2025, manakala panel solar di atas bumbung masih boleh digunakan semula selepas kerja pembersihan dilakukan,” katanya.

Menurut Nanta, skop kerja projek melibatkan penggantian peralatan utama selain kerja-kerja fizikal lain pada bangunan sekolah, termasuk kemudahan yang turut digunakan sebagai dewan terbuka.

“Projek ini amat penting bagi memastikan murid-murid di luar bandar mendapat peluang pendidikan setara rakan mereka di bandar. Kita tidak mahu mana-mana komuniti ketinggalan,” katanya.

Beliau menambah kontraktor diberikan tempoh dua bulan selepas penyerahan surat setuju terima untuk memulakan kerja, dan peralatan utama seperti inverter serta bateri dijangka tiba dalam tempoh berkenaan.

“Saya telah mencadangkan supaya kerja-kerja lain dimulakan segera tanpa menunggu ketibaan peralatan, bagi mempercepatkan penyiapan projek memandangkan keperluannya yang mendesak,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516348