DUNIA

Malaysia Perkukuh Kerjasama AI, Keselamatan Siber Dengan China

24/01/2026 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Malaysia kekal komited untuk memperdalam kerjasama dengan China dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, terutamanya dalam pembangunan kemahiran serta penyetempatan teknologi.

Ketua Pengarah Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata China telah lama menjadi rakan kongsi utama Malaysia dalam meningkatkan kepakaran teknikal dan menyokong kesediaan nasional bagi mendepani teknologi termaju.

Dalam satu temu bual bersama Xinhua baru-baru ini, beliau berkata kerjasama Malaysia-China dalam AI terus memberi keutamaan kepada pembinaan kapasiti, selaras dengan Strategi Keselamatan Siber Malaysia yang bukan sahaja bertujuan menggunakan teknologi canggih tetapi juga membangunkan keupayaan tempatan bagi memperkukuh daya tahan negara.

“China telah menunjukkan fleksibiliti dan pragmatisme dalam kerjasamanya, bukan sahaja berkongsi pengetahuan tetapi juga menunjukkan kesediaan untuk terlibat dalam pembangunan dan pengeluaran bersama,” katanya.

Megat Zuhairy berkata kedua-dua negara berkongsi pemahaman yang sama mengenai penyetempatan teknologi dan kedaulatan teknologi, sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk kerjasama lanjut dalam sektor AI.

Mengulas mengenai kontroversi baru-baru ini melibatkan model AI Grok di platform media sosial X, Megat Zuhairy berkata teknologi AI bukanlah isu "hitam atau putih" memandangkan ia menawarkan potensi besar namun turut membawa risiko nyata.

Beliau berkata keputusan Kerajaan Malaysia untuk mengenakan sekatan sementara terhadap Grok merupakan langkah perlu bagi mengimbangi perlindungan kepentingan awam dengan kemajuan inovasi.

“Langkah sementara ini bukan bertujuan menyekat inovasi atau menghalang pembangunan teknologi canggih di Malaysia, sebaliknya untuk mengurus potensi impak negatif penyalahgunaan AI, terutamanya dari segi etika dan keselamatan kandungan,” katanya.

Megat Zuhairy menegaskan bahawa penggunaan AI harus dipandu oleh rangka kerja etika yang jelas bagi memastikan kemajuan tidak mengorbankan kepentingan awam atau keselamatan maklumat.

Pada masa ini, beliau berkata Malaysia sedang merangka garis panduan keselamatan AI, di samping mempercepatkan usaha memperkukuh undang-undang berkaitan serta aturan institusi dan membangunkan alat tadbir urus yang lebih mudah disesuaikan.

“Teknologi AI berkembang pesat. Kami mahukan garis panduan yang fleksibel dan boleh dikemas kini apabila perlu. Ini bukan sahaja mengenai kawal selia, tetapi juga menekankan tanggungjawab pengguna AI,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516402