SUKAN

Wei Xiang, Shan Zi Juara Badminton B-21 Kebangsaan

25/01/2026 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki muda kebangsaan Kwong Wei Xiang mengekalkan momentum positif menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 bulan depan selepas muncul juara Kejohanan Remaja Kebangsaan Bawah 21 Tahun (B-21) di Ipoh hari ini.

Menurut kenyataan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wei Xiang menewaskan rakan sepasukan Muhammad Haziq Mohd Najib dalam straight set 15-13, 16-14 di Akademi Badminton Perak.

Pemain berusia 17 tahun itu berkata, kecergasan fizikal menjadi faktor penentu kemenangan, apabila beliau mengekalkan tempo tinggi sepanjang perlawanan dan mengharapkan ketahanan fizikal memberi kelebihan pada setiap pertukaran rally.

“Saya amat bersyukur diberi peluang mewakili pasukan di BATC. Saya akan membuat persiapan terbaik, menumpukan pada pengukuhan semua aspek permainan untuk mempercepatkan perkembangan diri dan mencapai tahap tertinggi yang boleh saya capai dalam kejohanan ini,” katanya.

Berdasarkan senarai perseorangan lelaki BATC 2026 yang diumumkan BAM sebelum ini, Wei Xiang akan mengiringi Justin, Hoh, Eogene Ewe dan dan pemain profesional Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Kejohanan BATC 2026 akan berlangsung dari 3 hingga 8 Feb di Qingdao, China.

Dalam pada itu, kategori perseorangan wanita menyaksikan kejutan apabila Oo Shan Zi menundukkan pilihan utama dan juara bertahan Lim Zhi Shin 16-14, 15-4.

Shan Zi, 19, yang merupakan naib juara Siri Antarabangsa Vietnam tahun lepas, menunjukkan semangat juang tinggi untuk meraih kemenangan straight set itu.

 

KEPUTUSAN LAIN:

Beregu Lelaki:

Muhammad Shazmir Irfan Shahrul-Damien Ling Tang Le mn Daniel Tan Ying Enn-Yusuf Daneel Luqman Hakim 15-8, 15-12

 

Beregu Wanita:

 Lee Yu Shan-Wong Zi Yi mn Genevie Lim Tsin Yeen-Wafa Shahmina Rahman 15-7, 15-11

 

Beregu Campuran:

Low Han Chen-Chan Wen Tse mn Loh Ziheng-Nicole Tan Pei En 15-11, 15-11

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516610