KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Aqil Mirza Naim Khairil dan Whitney Isabelle Wilson masing-masing dinobatkan sebagai juara kategori lelaki dan wanita bawah 19 tahun (B-19) pada Kejohanan Skuasy Remaja Kebangsaan 2026 di Pusat Skuasy Jalan Duta di sini hari ini.
Aqil Mirza dari Kedah mempamerkan ketahanan mental luar biasa apabila bangkit daripada ketinggalan dua set sebelum menewaskan wakil Sarawak, Altamis Aqhar Sallam A. Sufian 4-11, 7-11, 11-6, 11-6, 11-7 dalam perlawanan akhir yang berlangsung selama 56 minit.
Kejayaan itu menandakan penampilan sulung cemerlang Aqil Mirza dalam kategori B-19 selepas menjuarai kategori B-17 pada edisi tahun lepas.
Pemain berusia 17 tahun itu berkata keputusan untuk memanjangkan rali dan melemahkan fizikal lawan menjadi kunci kejayaannya.
“Saya cuba memanjangkan rali dan kekal kuat dari segi mental supaya dia (Altamis) keletihan. Harapnya saya dapat mempertahankan kejuaraan ini tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Sementara itu, pemain Sarawak, Whitney, menafikan hasrat wakil Negeri Sembilan, V. Haneesha, untuk mempertahankan kejuaraan selepas mencatat kemenangan 11-4, 9-11, 11-4, 11-6 dalam tempoh 26 minit.
Whitney, 17, berkata beliau gembira dengan kemenangan tersebut dan lega apabila segala strategi yang dirancang berjaya membuahkan hasil.
-- BERNAMA