AM

KRT Kampung Satey Pantai Tawar Pelbagai Perkhidmatan, Proaktif Jana Pendapatan

26/01/2026 10:56 AM

 

Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen

BATU PAHAT, 26 Jan (Bernama) -- Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Satey Pantai di sini berjaya memposisikan Pusat Aktiviti KRT sebagai pusat sehenti atau one-stop centre komuniti dengan menyediakan kemudahan lengkap merangkumi lokasi penganjuran, peralatan, penyediaan makanan serta perkhidmatan sokongan, sekali gus menjana pendapatan sendiri secara mampan.

Pengerusinya, Rozali Sharif, 54, berkata pendekatan bersepadu itu membolehkan pelbagai aktiviti komuniti, majlis dan program dilaksanakan di satu lokasi tanpa perlu mendapatkan perkhidmatan daripada pihak luar.

“Pusat Aktiviti KRT kami berfungsi sebagai one-stop centre. Orang boleh sewa tempat, guna peralatan audio, tempah makanan melalui dapur komuniti dan urusan lain dalam satu pakej, bergantung kepada keperluan mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Beliau berkata antara perkhidmatan ditawarkan ialah sewaan ruang majlis, peralatan audio, dapur komuniti, tempahan pakaian serta jualan sarapan, yang mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat dan komuniti sekitar.

“Peralatan audio itu kami beli sedikit demi sedikit dengan kos sekitar RM5,000 dan kini sudah balik modal kerana kerap disewa, termasuk oleh ahli majlis,” katanya.

Rozali berkata konsep pusat sehentian itu turut disokong Kementerian Perpaduan Negara menerusi geran berjumlah RM60,300 bagi pelaksanaan dapur komuniti, yang berjaya menjana pendapatan sekitar RM1,000 sebulan sepanjang tahun lepas.

“Apabila orang menyewa tempat kami sebagai one-stop centre, keperluan makan dan minum turut disediakan melalui dapur komuniti kami, berdasarkan kehendak pelanggan,” katanya.

Beliau berkata kemudahan Pusat Aktiviti KRT itu terus diperkasakan termasuk pembinaan bangsal hasil modal sendiri serta peruntukan Rukun Tetangga Progresif dan sumbangan Yayasan Makmur Batu Pahat, bagi menyokong fungsi pusat sehentian berkenaan.

Dalam pada itu, beliau yang telah berkhidmat selama 22 tahun sebagai pengerusi berkata pembahagian tugas dalam kalangan 21 anggota KRT dilakukan secara sistematik bagi memastikan operasi pusat berkenaan berjalan lancar.

Selain aspek pengurusan dan kebajikan, KRT itu turut melaksanakan rondaan keselamatan, perkhidmatan pertukangan, tuisyen percuma serta pelbagai program kesedaran untuk komuniti melibatkan lebih 2,000 penduduk pelbagai kaum.

Kejayaan pendekatan tersebut menyaksikan KRT Kampung Satey Pantai tersenarai sebagai KRT Progresif 2024, selain dinobatkan johan Kategori Pengurusan Rukun Tetangga Terbaik dan juara Keseluruhan Anugerah Perdana Rukun Tetangga Peringkat Kebangsaan 2023.

Beliau berkata konsep one-stop centre yang dilaksanakan bukan sahaja menjana pendapatan, malah memperkukuh semangat kesukarelawanan, kerjasama serta interaksi dalam kalangan penduduk.

Rozali berkata pendekatan mesra dan promosi berterusan menerusi WhatsApp serta sepanduk membantu memperkenalkan peranan KRT sebagai nadi komuniti.

“Kalau mereka berminat, kita jadikan sebagai tulang belakang komuniti. Jika kurang berminat, mereka tetap penduduk yang perlu kita santuni,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata slogan ‘Mesra Sekampung, Rukun Setaman’ dijadikan pegangan dalam memperkukuh peranan KRT sebagai pusat sehenti komuniti setempat.

-- BERNAMA

 

TAG:


NFMK HJ ZUZ

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516713