KOTA BHARU, 26 Jan (Bernama) -- Sebanyak 12 lagi jeti haram di tebing Sungai Golok dirobohkan pihak berkuasa semalam dan hari ini, menjadikan 37 jeti telah dimusnahkan setakat ini.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata antara jeti haram yang terlibat ialah Syed Agil, Tok Awang Tinggi, Stor Kayu Nasir, Hajjah, Abe Yie dan Haji Ghani.
Beliau berkata 37 jeti berkenaan merupakan sebahagian daripada 96 jeti haram berstruktur yang dikenal pasti di sepanjang Sungai Golok berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
“Perobohan jeti ini adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh kawalan keselamatan sempadan serta membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan yang dijalankan secara berterusan oleh pihak berkuasa di negeri ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Mohd Yusoff berkata kerja-kerja awal bermula dengan proses pengenalpastian pada pertengahan 2025, diikuti pelaksanaan perobohan secara berperingkat termasuk ke atas 25 jeti haram sebelum ini.
Beliau berkata secara keseluruhan terdapat 223 jeti pangkalan haram di sepanjang sempadan dari Tumpat hingga Jeli termasuk 216 jeti dibina di atas tanah kerajaan manakala tujuh lagi di tanah persendirian penduduk.
“Tindakan perobohan ini ialah kesinambungan usaha membanteras keseluruhan jeti haram yang dikenal pasti di sepanjang Sungai Golok, yang sebahagian besarnya telah dimusnahkan dalam beberapa peringkat sejak Oktober 2025.
“Kita akan meneruskan baki perobohan selepas peruntukan diterima daripada kerajaan Persekutuan dan dijangka menjelang Mac ini, kesemuanya akan dimusnahkan,” katanya.
Beliau berkata pemusnahan jeti haram itu diharap dapat membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan.
-- BERNAMA