EKONOMI

Pelabur Asing Catat Belian RM510 Juta Di Bursa, Aliran Masuk Dana Bagi Minggu Ketiga -- MBSB

26/01/2026 12:40 PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Kalangan pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih bagi minggu ketiga berturut-turut pada minggu lepas dengan aliran masuk asing bersih sebanyak RM510 juta, demikian menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB).

Dalam Laporan Aliran Dana bagi minggu berakhir 23 Jan, 2026, bank pelaburan itu menyatakan penyusutan dari segi perbandingan minggu ke minggu itu adalah penyederhanaan daripada minggu sebelumnya sebanyak RM716.1 juta.

Namun, aliran masuk berkenaan kekal memberi sokongan ke atas mudah tunai pasaran secara menyeluruh dan pelabur asing kekal memberi sumbangan bersih yang positif walaupun penyertaan pelabur domestik sebaliknya bercampur-campur.

“Kalangan pelabur asing kebanyakannya merupakan pembeli bersih pada minggu itu dengan aliran masuk terbesar pada Rabu lepas yang berjumlah RM215.4 juta dan diikuti pada Khamis (RM167.8 juta), Jumaat (RM132.8 juta), Isnin (RM12.4 juta) manakala jualan bersih pada Selasa (-RM17.5 juta),” katanya.

MBSB berkata tiga sektor yang mencatat aliran masuk asing bersih adalah perkhidmatan kewangan sebanyak RM407.5 juta dan seterusnya produk dan perkhidmatan perindustrian (RM148.6 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM87.8 juta).

“Sebaliknya tiga sektor utama yang mencatat aliran keluar asing bersih tertinggi merupakan penjagaan kesihatan (-RM141.8 juta), pembinaan (-RM40.9 juta) serta utilit (-RM19.5 juta),” katanya.

Dalam pada itu, MBSB berkata institusi tempatan kembali melakukan aktiviti pembelian bersih dengan mencatat aliran masuk bersih sebanyak RM853.0 juta berbanding jualan bersih RM588.2 juta pada minggu sebelumnya.

“Pelabur runcit tempatan pula menjadi pembeli bersih dengan aliran masuk bersih sebanyak RM853.0 juta yang berbeza daripada jualan bersih RM588.2 juta pada minggu sebelumnya,” katanya.

Selain itu, jumlah dagangan harian (ADTV) mencatat peningkatan secara menyeluruh yang menyaksikan peruncit tempatan meningkat sebanyak 18.4 peratus manakala institusi tempatan naik 0.3 peratus dan pelabur asing turun 12.2 peratus.

Di peringkat serantau, MBSB berkata pelabur asing di lapan pasaran Asia menyaksikan penjualan asing bersih yang meningkat bagi minggu kedua berturut-turut dengan jumlah aliran keluar bersih juga bertambah kepada US$2.76 bilion (US$1 = RM3.99) bagi minggu di bawah kajian berbanding US$954.6 juta pada minggu berakhir pada 16 Jan, 2026.

Penurunan secara agregat itu didorong terutamanya oleh peningkatan ketara aktiviti jualan dari India yang mengatasi pembelian berterusan di kebanyakan rantau ASEAN.

“Kecuali India dan Vietnam, kesemua pasaran lain yang ditinjau mencatatkan alian masuk dana asing bersih sepanjang tempoh di bawah kajian itu,” kata MBSB.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2516783