KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak berharap pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dapat dilaksanakan secara inklusif dengan mengambil kira realiti infrastruktur pendidikan di kedua-dua negeri berkenaan.
Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berkata beliau menyambut baik pendidikan prasekolah bermula usia lima tahun dan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun secara sukarela, namun pelaksanaan dasar itu perlu seiring dengan kemudahan asas pendidikan terutama di luar bandar.
“Masih terdapat tabika yang daif, kekurangan bilik darjah mesra kanak-kanak dan guru terlatih serta isu penempatan guru di kawasan pedalaman. Dasar ini tidak boleh dilaksanakan secara satu saiz untuk semua,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) membangkitkan perkara sama dengan menjadikan kawasan Sandakan sebagai contoh kepada masalah infrastruktur pendidikan.
“Di Sandakan sekolah daif masih wujud, infrastruktur pendidikan masih ketinggalan dan murid tercicir akibat kemudahan asas yang lemah. Kami perlukan sekolah, kelas mencukupi dan lebih banyak (lagi). Masa yang kritikal untuk kerajaan mengambil tindakan supaya murid dan guru ada sesi pengajaran dan pembelajaran yang baik,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) menyentuh keperluan memperkukuh sistem pendidikan di Sabah dengan menekankan kesepadanan antara latihan teknikal, kandungan pembelajaran dan keperluan industri bagi membantu kebolehpasaran golongan muda.
Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) pula berkata berdasarkan data kelahiran 2021, dijangkakan terdapat sekitar 440,000 anak-anak yang mencecah usia enam tahun pada 2027.
“Sekiranya purata setiap kelas adalah 35 murid, maka lebih 12,500 bilik darjah diperlukan, tentunya amat mencabar untuk Kementerian Pendidikan menyediakan semua bilik darjah tersebut dalam masa 11 bulan ini,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini berkata meskipun terdapat gesaan supaya kemasukan ke Tahun Satu seawal umur enam tahun ditangguhkan atas pelbagai kebimbangan, Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam arus pendidikan global dengan 137 negara telah melaksanakannya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tambahan RM800 juta akan diperuntukkan dalam belanjawan tahun ini bagi memenuhi keperluan segera termasuk pengambilan 18,000 guru baharu.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA