EKONOMI

Batik Air Malaysia Tambah 10 Pesawat, Sasar 85 Peratus Prestasi Tepat Masa

27/01/2026 09:49 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Batik Air Malaysia (Batik Air) merancang untuk menambah 10 lagi pesawat tahun ini, menjadikan keseluruhan armadanya kepada 63 kapal terbang.

Ini sejajar dengan hasrat syarikat penerbangan itu untuk mempercepatkan pengembangan rangkaiannya, meningkatkan daya tahan operasi, dan mengukuhkan ketersambungan dari Lapangan Terbang Subang. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Chandran Rama Muthy berkata pesawat tambahan yang merangkumi Boeing 737 dan Airbus A330, akan menyokong kekerapan yang lebih tinggi, kapasiti siap sedia yang lebih banyak dan peningkatan perkhidmatan merentasi rangkaian serantau dan antarabangsanya. 

“Dengan lebih banyak pesawat yang bakal tiba, kami akan mempunyai lebih banyak pesawat yang bersiap sedia, sekali gus membolehkan kami mengendalikan sebarang gangguan seperti keadaan cuaca buruk dengan lebih baik dan mengurangkan kelewatan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri kempen ‘Fixed Fares for Your Reunion’, yang dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan, Pengerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi dan Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud.

Tambah Chandran, ketika ini Batik Air mengendalikan 53 pesawat yang menawarkan perkhidmatan ke 65 destinasi merentasi 20 negara, dan menjangkakan pengembangan armada itu akan menyokong pertumbuhan dalam kekerapan serta perkhidmatan pada tahun ini. 

Terdahulu, ketika berucap, Chandran berkata Batik Air menyasarkan kadar prestasi tepat masa (OTP) sebanyak 85 peratus menjelang pertengahan tahun ini, memandangkan syarikat penerbangan itu terus mengukuhkan kebolehpercayaan operasi di tengah-tengah peningkatan permintaan perjalanan dan gangguan bermusim. 

Beliau berkata OTP syarikat penerbangan itu sudah menunjukkan peningkatan yang ketara sejak tiga bulan lepas, merekodkan prestasi yang konsisten melebihi 70 peratus. 

“Penambahbaikan itu mencerminkan pelarasan operasi yang berterusan, termasuk perancangan kapasiti dan ketersediaan pesawat yang lebih baik, walaupun faktor luaran seperti keadaan cuaca dan kekangan lapangan terbang masih di luar kawalan langsung syarikat penerbangan,” katanya. 

Menurut Chandran, tumpuan syarikat penerbangan itu terhadap ketepatan masa merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk mengurangkan keletihan perjalanan dan menyediakan alternatif yang lebih selamat dan lebih dipercayai untuk perjalanan jauh, terutama semasa kemuncak musim perayaan apabila kesesakan dan kelewatan menjadi satu kebiasaan. 

Selain itu, beliau berkata penerbangan tambahan dan kekerapan yang lebih tinggi di laluan utama domestik dan serantau juga bertujuan menyokong aliran penumpang yang lebih lancar, di samping mengekalkan piawaian perkhidmatan. 

Chandran berkata kempen tambang tetap itu menawarkan kepada penumpang satu kadar yang telah ditetapkan dan boleh dipercayai menjelang musim puncak perjalanan, sekali gus membolehkan keluarga merancang perjalanan sempena Tahun Baharu Cina dengan yakin. 

Katanya, penumpang kini boleh menikmati tambang tetap dari Kuala Lumpur/Subang ke Kuching, dengan tambang sehala daripada RM318 dan ke Kota Kinabalu, dengan tambang sehala daripada RM378.

“Tempoh tempahan sudah dibuka sekarang sehingga 13 Feb, 2026, dengan jadual perjalanan dari 13 hingga 16 Feb, 2026.

“Batik Air telah menyediakan penerbangan tambahan dari Johor Bahru ke Pulau Pinang (12 hingga 14 Feb, 2026) dan Sibu (13 hingga 15 Feb, 2026,” katanya. 

Beliau berkata tambang sehala bermula daripada RM388 ke Pulau Pinang dan RM588 ke Sibu, memberikan penumpang fleksibiliti tambahan semasa tempoh perayaan. 

— BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2517541