JENAYAH & MAHKAMAH

Pegawai Kanan ATM Disyaki Minta, Terima Rasuah RM150,000 Direman Enam Hari

28/01/2026 04:34 PM

MELAKA, 28 Jan (Bernama) -- Seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) direman enam hari hingga 2 Feb ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000 sebagai balasan memberikan kerja-kerja pembekalan bahan mentah bagi senggaraan stor di sebuah kem di sini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perintah reman terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan oleh Majistret Uthman Abd Ghani selepas membenarkan permohonan agensi berkenaan di Mahkamah Majistret Ayer Keroh pagi tadi.

Menurut sumber, suspek ditahan pada 12.15 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka.

“Siasatan awal mendapati suspek, yang ketika kejadian bertugas sebagai pegawai pemerintah di kem berkenaan, disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM150,000 sekitar tahun 2024 sebagai balasan memberikan kerja-kerja pembekalan bahan mentah,” katanya.

Beliau berkata suspek dipercayai menerima wang rasuah secara tunai daripada lima syarikat yang memperoleh kerja-kerja pembekalan berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2517793