KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Barangan Bernilai Rendah (LVG) mencatat kutipan hasil tambahan sebanyak RM817 juta pada 2025, meningkat daripada RM476 juta pada 2024 sejak pelaksanaannya, kata Kementerian Kewangan.
Kementerian itu berkata peningkatan tersebut mencerminkan pematuhan yang semakin stabil dalam kalangan penjual luar negara yang menjual barangan terus kepada pengguna di Malaysia melalui platform dalam talian.
Ia berkata LVG pada kadar 10 peratus yang berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2024 merupakan langkah kerajaan untuk meluaskan asas cukai secara adil serta menangani ketidakseimbangan percukaian dalam perdagangan digital rentas sempadan.
"Pendekatan ini juga selaras dengan amalan antarabangsa, apabila banyak negara melaksanakan mekanisme cukai ke atas barangan bernilai rendah yang dijual secara dalam talian merentas sempadan.
"Pelaksanaan LVG membantu mengurangkan kelebihan harga yang tidak adil dan mewujudkan persaingan yang lebih seimbang (level playing field) antara peniaga tempatan dan penjual luar negara," katanya.
Kementerian tersebut berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen bagi menjawab soalan dikemukakan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) berkaitan jumlah cukai tambahan yang dikutip sejak Cukai Jualan Barangan Bernilai Rendah (LVGT) 2024 dilaksanakan.
Pada masa yang sama, kementerian itu berkata pelaksanaan LVG memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dengan mengurangkan jurang harga akibat perbezaan layanan cukai antara penjual tempatan dan penjual luar negara dalam pasaran dalam talian.
Katanya, pendekatan ini menyokong persekitaran yang lebih seimbang dan menggalakkan PKS tempatan bersaing berdasarkan kualiti, nilai dan perkhidmatan yang ditawarkan dan bukan semata-mata dari segi harga.
-- BERNAMA