SUKAN

Krisis FAM: Persiapan Skuad Kebangsaan Tidak Boleh Terganggu - Penganalisis

29/01/2026 02:34 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kegawatan pentadbiran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan peletakan jawatan beramai-ramai Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) semalam, mengundang pelbagai persoalan, khususnya berkaitan implikasi terhadap persiapan dan prestasi pasukan kebangsaan.

Tumpuan kini adalah sama ada krisis pengurusan itu akan menjejaskan perancangan jangka pendek skuad kebangsaan, kedudukan barisan kejurulatihan serta kelangsungan program pembangunan pemain yang menjadi tunjang kepada masa depan bola sepak negara.

Penganalisis sukan tempatan Datuk Dr Pekan Ramli berkata peletakan jawatan beramai-ramai itu tidak sepatutnya menjejaskan persiapan pasukan-pasukan kebangsaan, terutama skuad Harimau Malaya termasuk kem latihan dan perlawanan antarabangsa yang dijadualkan dalam kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Beliau berkata FAM masih mempunyai setiausaha agung dan barisan sekretariat yang menjalankan tugas mengikut bidang serta tanggungjawab masing-masing, sekali gus membolehkan pengurusan pasukan kebangsaan diteruskan seperti biasa.

“Segala persiapan dan perancangan pasukan daripada aspek kejurulatihan diketuai oleh ketua jurulatih Harimau Malaya, yang boleh berurusan terus dengan setiausaha agung tanpa perlu melalui pengurus pasukan yang lazimnya dilantik daripada Ahli Majlis FAM.

“Jawatan pengurus pasukan bagi urusan pentadbiran pula boleh dilantik secara interim sama ada dalam kalangan pegawai pasukan atau kakitangan FAM sedia ada. Oleh itu, perancangan pasukan kebangsaan tidak sepatutnya terjejas, walaupun mungkin sedikit mencabar pada peringkat awal,” katanya kepada Bernama.

Pada masa sama, Pekan berharap FIFA atau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan mengambil langkah segera bagi menyokong FAM, selaras dengan amalan di negara-negara lain yang menghadapi situasi sama.

Beliau berkata langkah itu mampu memastikan persiapan skuad kebangsaan dalam pelbagai kejohanan tidak terganggu.

“Setelah itu, barulah penstrukturan semula dapat dilakukan, termasuk memperkukuh tadbir urus, memastikan integriti, menyemak perlembagaan FAM serta mengenal pasti kelemahan dalam keseluruhan ekosistem sebelum pentadbiran diserahkan kembali kepada FAM dan Ahli Majlis baharu,” katanya.

Sebagai rekod, Malaysia dijadualkan menentang Vietnam di tempat lawan pada perlawanan terakhir Kumpulan F saingan Kelayakan Piala Asia 2027 pada 31 Mac ini, sekali gus menjadikan aspek persiapan dan kestabilan skuad bimbingan Peter Cklamovski sebagai keutamaan mutlak dalam tempoh terdekat.

Malaysia dengan rekod kemenangan 100 peratus selepas lima perlawanan kini menghuni kedudukan teratas Kumpulan F dengan 15 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua (12 mata), Laos ketiga (tiga mata) dan Nepal tercorot tanpa sebarang mata.

Selain itu, pasukan kebangsaan akan beraksi pada saingan Piala ASEAN 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 24 Julai sehingga 26 Ogos.

Malaysia yang muncul juara pada 2010 diundi dalam Kumpulan B bersama juara tujuh kali Thailand, Filipina, Myanmar dan Laos sementara Kumpulan A menampilkan Indonesia, juara bertahan Vietnam, Singapura, Kemboja dan pemenang aksi playoff antara Brunei dan Timor Leste.

Semalam, kesemua Exco FAM bagi penggal 2025-2029 meletak jawatan secara kolektif dan sukarela berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah berprinsip dan berhemah susulan situasi semasa, bagi melindungi integriti FAM serta mengutamakan tanggungjawab organisasi tanpa kepentingan peribadi.

Susulan itu, AFC akan membantu FAM melaksanakan penilaian dalaman berasaskan penanda aras persatuan bola sepak moden bertaraf antarabangsa sebelum laporan itu dibentangkan kepada pihak berkepentingan, terutama Kongres FAM.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518156