KUANTAN, 30 Jan (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM350,000 bagi pembinaan serta kerja baik pulih fasiliti dan infrastruktur Pusat Pendidikan Islam Ribath Al-Mustofa dan Ribath Azzahra Al-Batul di sini.
Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata peruntukan itu bertujuan memastikan pelajar dapat menimba ilmu agama dalam persekitaran lebih selesa, selamat dan kondusif.
“Lawatan kerja telah diadakan ke Pusat Pendidikan Ribath Al-Mustofa bagi meninjau secara langsung keadaan fasiliti dan infrastruktur pusat pendidikan itu yang diasaskan oleh Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab.
“Hasil daripada keprihatinan Kerajaan Persekutuan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah bersetuju meluluskan peruntukan RM350,000 bagi menyokong pembinaan serta kerja baik pulih fasiliti dan infrastruktur di pusat pendidikan terbabit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Lawatan itu turut dihadiri Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Razihan Adzharuddin.
Ahmad Farhan berkata usaha itu diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan Islam serta menyuntik semangat kepada generasi muda untuk terus mendalami ilmu sekali gus melahirkan golongan yang mampu menyumbang kepada agama, masyarakat dan negara.
Beliau berkata Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri terus komited memartabatkan syiar Islam melalui pelbagai dasar, program serta intervensi strategik menyeluruh di samping memperkasakan institusi pendidikan Islam sebagai sebahagian agenda pembangunan insan yang holistik dan berteraskan nilai.
Beliau berkata komitmen itu diterjemahkan secara jelas menerusi Belanjawan 2026 apabila sebanyak RM2.6 bilion diperuntukkan bagi memperkukuh pendidikan Islam dan pembangunan sektor berkaitan termasuk maahad tahfiz, sekolah agama rakyat serta institusi pondok di seluruh negara.
-- BERNAMA