GAYA HIDUP

Ziarah Seni Madani Finas, Santuni Shamsul Ghau Ghau

30/01/2026 09:34 PM

Oleh Wartawan Bernama Lifestyle

BANGI, 30 Jan (Bernama) -- Kunjungan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Hans Isaac ke kediaman pelawak Shamsul Ghau Ghau, di Bandar Baru Bangi hari ini mencerminkan komitmen Finas untuk sentiasa bersama-sama dengan penggiat industri.

Hans berkata sumbangan yang diberikan kepada Shamsul semasa program Ziarah Seni MADANI itu bagi membantu penggiat industri seni berkenaan yang berdepan kesukaran termasuk masalah kesihatan.

“Kita tak tahu bila sahabat-sahabat kita dalam industri akan ditimpa kesusahan atau masalah kesihatan. Jadi tanggungjawab kita adalah untuk ada bersama-sama mereka, bukan hanya ketika berada di puncak, tetapi juga ketika susah. 

pic-2

“Dalam industri ini, tiada beza sama ada dia artis popular, pengarah atau kru, semuanya sama. Tidak ada 'double standard' dalam membantu mereka ...Itu tanggungjawab Finas dan kita bersama-sama industri secara holistik,” katanya kepada pemberita.

Dalam kunjungan yang turut  dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi itu, Hans menyampaikan sumbangan tunai.

Sebelum ini, media melaporkan Shamsul Ghau Ghau atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin yang juga merupakan pelakon, baru selesai menjalani pembedahan membuang darah beku pada otak kiri susulan pendarahan.

pic-3

Shamsul, 58, menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAA), Serdang.

Isteri Shamsul, Sharifah Azrinah, 52, berkata suaminya masih memerlukan sokongan rapi khususnya dalam tempoh 90 hari pertama pemulihan seperti dinasihatkan doktor, selain memaklumkan Shamsul turut mengalami kesukaran pertuturan susulan insiden berkenaan.

“Saya amat menghargai keprihatinan Finas serta rakan-rakan industri yang hadir memberi sokongan. Bantuan dan doa mereka sangat bermakna buat kami sekeluarga dalam melalui fasa sukar ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518772