KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Tiga stesen janakuasa gas Malakoff Corporation Bhd dengan kapasiti agregat sebanyak 2,082 megawatt (MW) dipilih untuk meneruskan operasi sehingga 31 Dis 2029 berikutan pemberitahuan daripada Suruhanjaya Tenaga.
Malakoff dalam kenyataan hari ini berkata pelanjutan ini membolehkan stesen janakuasa berkenaan terus membekalkan tenaga elektrik kepada grid nasional sekali gus menyokong keperluan tenaga negara berikutan permintaan yang berterusan serta peralihan landskap tenaga.
Katanya pelanjutan ini melibatkan stesen janakuasa dikendalikan anak syarikat Malakoff, merangkumi dua stesen janakuasa di Lumut, Perak iaitu stesen janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berkapasiti 1,303MW dan stesen janakuasa Turbin Gas Kitaran Terbuka berkapasiti 429MW serta stesen janakuasa CCGT Prai berkapasiti 350MW di Pulau Pinang.
“Dengan kapasiti gabungan sebanyak 2,082MW, stesen janakuasa ini menyediakan penjanaan yang diharapkan dan fleksibel sekali gus membantu mengekalkan kestabilan grid serta margin rizab, khususnya ketika tempoh permintaan elektrik yang tinggi.
“Perjanjian pembelian tenaga baharu akan dimeterai dengan Tenaga Nasional Bhd bagi setiap stesen janakuasa, membolehkan Malakoff menjana dan membekalkan kapasiti tenaga elektrik yang diperlukan sepanjang tempoh pelanjutan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Malakoff Syahrunizam Samsudin berkata pelanjutan ini merupakan satu keperluan serta mencerminkan pendekatan yang praktikal dan bertanggungjawab dalam memenuhi keperluan tenaga Malaysia.
“Pelanjutan operasi ini membolehkan kemudahan penjanaan gas yang terbukti berkeupayaan untuk terus menyumbang kapasiti yang dipercayai dan fleksibel, terutamanya ketika permintaan tenaga berada pada tahap yang tinggi.
“Ini menyokong keterjaminan tenaga negara di samping memanfaatkan infrastruktur sedia ada secara berkesan dari segi kos,” katanya.
-- BERNAMA