JENAYAH & MAHKAMAH

APMM Selamatkan Empat Mangsa Bot Terbalik Di Pulau Rebak

30/01/2026 03:50 PM

ALOR SETAR, 30 Jan (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan empat lelaki selepas bot mencandat sotong yang mereka naiki terbalik di perairan Pulau Rebak dekat Langkawi, awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kira-kira 5.05 pagi.

“Sebaik menerima panggilan, Bot Penggalang 11 telah digerakkan ke lokasi dan operasi mencari dan menyelamat empat lelaki tempatan yang kesemuanya berusia 18 tahun itu dimulakan.

“Mangsa berjaya ditemui pada 6.10 pagi dalam keadaan selamat selepas mereka berpaut pada pelampung sementara menunggu bantuan tiba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kesemua mangsa dibawa ke Jeti APMM Bukit Malut dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk pemeriksaan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.30 pagi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518585