Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Di sebalik bayang patung yang bergerak di layar putih dan dialog bersahaja yang mengundang tawa, seni wayang kulit sebenarnya menyimpan pengajaran tentang sifat manusia.
Tokoh wayang kulit Che Mohd Nasir Yusoff berkata setiap watak dalam wayang kulit Kelantan diwujudkan dengan makna tersendiri, mewakili pelbagai sisi perwatakan manusia yang dekat dengan kehidupan seharian.
“Watak-watak ini bukan sekadar untuk menghidupkan cerita. Ia menggambarkan kebijaksanaan, keangkuhan, kelemahan serta konflik hidup yang kita lalui setiap hari,” katanya ketika ditemui Bernama selepas Masterclass Rekaan Watak Animasi: Penerokaan Semula Watak Wayang Kulit Kelantan bersempena dengan Festival Titih Pusaka 2026 anjuran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), di sini baru-baru ini.
pic-2
Lebih dikenali sebagai Pak Nasir, beliau berkata struktur penceritaan wayang kulit Kelantan dibina berasaskan watak-watak utama seperti Sri Rama, Siti Dewi, Laksamana dan Rawana yang menjadi asas perjalanan cerita seni berkenaan.
“Watak-watak itu pula perlu disusun bagi memastikan cerita bergerak seimbang, dan membantu pencerita menyampaikan konflik serta mesej tanpa perlu penerangan secara langsung,” katanya.
Pak Nasir yang juga pensyarah dan Adiguru Wayang Kulit di Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA, berkata melalui perwatakan itu, penonton dapat memahami pelbagai emosi dan sifat manusia yang dipaparkan sepanjang persembahan.
pic-3
“Penonton belajar memahami emosi seperti marah, sabar, tamak atau belas ihsan melalui watak. Ia mendidik secara halus,” katanya.
Pak Nasir yang didedahkan kepada senii tradisional Melayu itu sejak kecil, berkata peranan dalang juga bukan sekadar menggerakkan patung dan melontarkan dialog, sebaliknya menyusun jalan cerita dan menyampaikan mesej kepada penonton namun secara santai.
Beliau yang juga anak murid tokoh seniman negara Allahyarham Hamzah Awang Hamat, berkata sejak dahulu wayang kulit berfungsi sebagai medium hiburan yang turut membawa mesej dan pengajaran kepada masyarakat.
pic-4
Dalam menghadapi cabaran semasa, Pak Nasir berkata seni wayang kulit berdepan risiko kehilangan ilmu sekiranya pemindahan pengetahuan tidak dibuat secara tersusun dan hanya bergantung pada hafalan serta penyampaian lisan.
“Kalau tidak direkod dan disusun, banyak ilmu boleh hilang. Sebab itu pemindahan ilmu perlu dibuat secara sistematik,” katanya yang pernah membuat persembahan di luar negara seperti China, Sepanyol, Indonesia, Amerika Syarikat, Singapura, Geneva, Jepun, Kanada, Jerman dan Australia.
Menurutnya, usaha mendokumentasi ilmu wayang kulit penting bagi memastikan seni berkenaan dapat diteruskan dan tidak terhenti bersama-sama dengan generasi lama dalang.
pic-5
Pada masa sama, Pak Nasir berkata wayang kulit masih berpotensi untuk terus relevan menerusi adaptasi ke medium moden seperti animasi dan reka bentuk visual, namun generasi muda perlu memahami asas seni berkenaan terlebih dahulu.
“Bila asas itu kuat, barulah pembaharuan yang dibuat ada makna dan tidak menghilangkan roh asal,” katanya.
-- BERNAMA