Oleh Karina Imran
KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka diniagakan dalam kecenderungan meningkat yang positif pada julat 1,730 hingga 1,760 minggu hadapan, dengan paras sokongan segera pada 1,700.
Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata dari sudut teknikal, paras 1,760 adalah rintangan teknikal jangka pendek, dengan aktiviti pengambilan untung dalam jangka pendek dijangka berlaku.
“Selain itu, paras 1,780 pula merupakan paras rintangan utama yang lebih signifikan dari segi struktur, yang memerlukan momentum berterusan dan pembelian susulan bagi menembusi paras rintangan ini.
“FBM KLCI memulakan minggu hadapan dengan kecenderungan teknikal yang positif, disokong oleh kedudukannya yang melebihi purata pergerakan 50 hari, 100 hari dan 200 hari,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pelabur menunggu pengumuman Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Malaysia pada Isnin.
“Data akan datang akan dipantau dengan teliti bagi mendapatkan petunjuk lebih jelas mengenai keteguhan permintaan domestik yang berterusan terutama dalam sektor berkaitan pengguna dan perkhidmatan.
“Sebarang peningkatan dalam bacaan PMI akan membantu menyokong sentimen pasaran secara keseluruhan di luar daripada sektor perbankan, dan ini penting bagi mengukuhkan struktur asas kenaikan semasa,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata secara keseluruhan, FBM KLCI kekal dalam aliran meningkat yang positif.
Menurutnya walaupun aktiviti pengambilan untung secara berkala mungkin berterusan selepas kenaikan yang kukuh, struktur asas pasaran kekal positif.
“Pergerakan berterusan melepasi paras 1,750 dijangka membuka peluang kepada fasa kenaikan yang seterusnya manakala sebarang penurunan ke arah paras sokongan dijangka berlaku secara teratur dan bersifat pembetulan, dan tidak mengubah trend utama pasaran.
“Oleh itu, kami menjangka FBM KLCI bergerak dalam julat 1,730 hingga 1,760 minggu hadapan,” katanya.
Pasaran tempatan diniagakan lebih tinggi pada awal minggu ini melalui aktiviti pengambilan untung pada Rabu dan Khamis, sebelum melonjak semula pada akhir minggu berikutan minat belian baharu.
Bursa Malaysia melepasi paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada Selasa iaitu 1,771.25, disokong oleh minat belian kukuh terhadap saham mewah daripada pelabur institusi tempatan dan asing.
Indeks itu melepasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 1,740.59 pada 17 Okt 2018.
Selain itu, pengukuhan ringgit telah meningkatkan lagi sentimen pasaran secara keseluruhan.
Pada Rabu, ringgit mencecah paras 3.9175 berbanding dolar AS yang juga paras penutup tertingginya sejak April 2018.
Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI meningkat 20.89 mata kepada 1,740.88 daripada 1,719.99 pada minggu sebelumnya.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 melonjak 106.22 mata kepada 12,562.02 manakala Indeks FBM Emas meningkat 85.45 mata kepada 12,745.99.
Indeks FBM Mid 70 pula merosot 52.64 mata kepada 17,509.58, Indeks FBM Emas Shariah susut 34.33 mata kepada 12,275.32 dan Indeks FBM ACE rendah 182.05 mata kepada 4,723.00.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 707.01 mata kepada 21,510.18, Indeks Tenaga susut 10.45 mata kepada 758.93, Indeks Perladangan rendah 5.21 mata kepada 8,364.56 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.93 mata kepada 175.56.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 16.53 bilion unit bernilai RM20.33 bilion daripada 15.10 bilion unit bernilai RM15.66 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 9.76 bilion unit bernilai RM18.75 bilion daripada 8.15 bilion unit bernilai RM14.27 bilion sebelum ini.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.43 bilion unit bernilai RM602.53 juta daripada 4.34 bilion unit bernilai RM529.99 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan Pasaran ACE menyusut kepada 2.34 bilion unit bernilai RM955.46 juta daripada 2.60 bilion unit bernilai RM847.79 juta pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA