DUNIA

Ketua PBB Sambut Baik Gencatan Senjata Syria-YPG, Gesa Semua Pihak Patuhi Komitmen

31/01/2026 12:00 PM

HAMILTON (Kanada), 31 Jan (Bernama-Anadolu) -- Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Jumaat menyambut baik perjanjian gencatan senjata antara Kerajaan Syria dan kumpulan pengganas YPG, yang beroperasi di bawah nama Pasukan Demokratik Syria (SDF), serta menggesa pelaksanaan penuh perjanjian itu, lapor  Anadolu Ajansi.

"Setiausaha Agung menyambut baik perjanjian antara Kerajaan Syria dan SDF serta menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang berusaha menyokongnya," menurut kenyataan oleh jurucakap Guterres, Farhan Haq.

Menurut kenyataan itu Ketua PBB "merayu kepada semua pihak agar bertindak pantas bagi memastikan pelaksanaan perjanjian itu," selain menekankan tentang "integrasi secara aman di timur laut Syria, hak-hak warga Kurdish Syria, kepulangan pelarian secara selamat, bermaruah dan sukarela, serta bersatu dalam usaha membina semula negara itu."

"Beliau menggesa semua pihak untuk mematuhi sepenuhnya komitmen mereka, mengutamakan kestabilan Syria serta wilayah yang lebih luas, dan memastikan orang awam dilindungi serta dapat hidup dengan selamat, bermaruah dan bebas daripada ketakutan," menurut kenyataan itu lagi.

Kerajaan Syria dan organisasi pengganas YPG mencapai perjanjian komprehensif baharu pada Jumaat yang merangkumi gencatan senjata dan rangka kerja bagi integrasi berperingkat kumpulan itu ke dalam struktur ketenteraan dan pentadbiran.

Tentera Syria melancarkan operasi terhadap YPG pada 16 Jan di kawasan barat Sungai Euphrates. Operasi itu kemudiannya diperluas ke timur sungai dengan penyertaan pasukan puak, yang membawa kepada sebahagian besar wilayah yang sebelum ini diduduki kumpulan itu kini berada di bawah kawalan kerajaan.

Satu perjanjian gencatan senjata dan integrasi penuh sebelum ini yang dicapai pada 18 Jan antara Damsyik dan YPG merangkumi peruntukan bagi pengunduran penuh kumpulan itu dari wilayah timur Raqqa dan Deir ez-Zor, pemindahan institusi awam di Hasakah kepada pihak berkuasa negeri, penyerahan semua lintasan sempadan dan sumber tenaga di bawah kawalan kerajaan pusat serta integrasi individu anggota YPG ke dalam pasukan keselamatan.

Bagaimanapun, pertempuran tercetus semula pada 19 Jan selepas YPG enggan mematuhi perjanjian itu. Kerajaan mengumumkan pada 20 Jan bahawa ia telah mengisytiharkan gencatan senjata dan memberi tempoh empat hari kepada kumpulan itu untuk meneruskan proses integrasi.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2518849