KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Pengasas dan Ketua Good Feng Shui Geomantic Research Hoo Hong Pan atau lebih dikenali Master Kenny Hoo meninggal dunia semalam.
Anak perempuan beliau Dr Hoo Kaye Tian ketika dihubungi Bernama berkata bapanya meninggal dunia pada usia 62 tahun di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang kira-kira 2 pagi akibat serangan jantung.
Hoo dikenali di Malaysia dan antarabangsa menerusi pendekatan ‘saintifik’ dalam Feng Shui, selain kerap menyumbangkan ramalan zodiak serta nasihat geomantik kepada media arus perdana selama lebih dua dekad.
Sebagai wajah yang tidak asing dalam media, Hoo kerap tampil di Bernama TV untuk berkongsi kepakaran serta pandangannya mengenai trend geomantik, khususnya sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Beliau juga adalah pencipta Good Feng Shui Converge Water Technique yang telah meraih beberapa anugerah antarabangsa dalam bidang sains geomantik.
Upacara penghormatan terakhir kepada mendiang Hoo akan diadakan di Nirvana Centre KL pada 4 Feb.
Hoo meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.
-- BERNAMA