SUKAN

Liga Super: Kuching City Raih Tiga Mata Berharga, Perebutan Tempat Kedua Kian Sengit

31/01/2026 11:59 PM

KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Kuching City FC mencatat kemenangan penting untuk naik ke tangga kedua Liga Super 2025/2026 selepas berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 di Stadium Negeri Sarawak di Kuching malam ini.

Pasukan tuan rumah memulakan perlawanan dengan penuh bertenaga dan berjaya membuka tirai jaringan menerusi Gabriel Nistelrooy Tamin pada minit ke-10 susulan kesilapan pemain pertahanan NSFC Muhammad Amirul Adli Azmi.

Menyedari kedudukan 1-0 belum cukup selamat, Kuching City terus mengasak kubu pelawat sebelum menjaringkan gol kedua menerusi penyerang import Wanja Ronald Ngah pada minit ke-66.

Pasukan pelawat cuba bangkit pada penghujung perlawanan, namun kekentalan benteng pertahanan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak memastikan kelebihan dua gol kekal sehingga wisel penamat.

Perebutan tempat kedua semakin sengit selepas 15 perlawanan apabila Kuching City berada di tangga kedua dengan berkongsi 31 mata bersama Selangor FC di kedudukan ketiga, manakala Kuala Lumpur (KL) City FC di tempat keempat hanya dibezakan satu mata.

Juara bertahan Johor Darul Ta’zim kekal di persada liga dengan 45 mata selepas mencatatkan rekod kemenangan 100 peratus setakat ini.

Sementara itu, DPMM FC gagal memanfaatkan aksi di laman sendiri selepas terikat 1-1 menentang Melaka FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah di Brunei.

Pada pertembungan itu, penyerang Muhammad Syafiq Ahmad meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-27.

Keputusan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila penyerang import Melaka Ahmed Shamsaldin meledak gol penyamaan pada minit ke-53 sebelum kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dalam pada itu, jaringan penyamaan pemain tengah Kelantan The Real Warriors FC Albert Kang pada masa kecederaan babak kedua berjaya menafikan gol pembukaan Penang FC menerusi Dylan Wenzel-Halls pada minit ke-33, sekali gus aksi di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu itu berkesudahan 1-1.

Terdahulu, Penang terpaksa mengharungi baki kira-kira 30 minit perlawanan dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan Ahmad Irfan Mohd Noor dilayangkan kad merah pada minit ke-57 setelah melakukan terjahan keras.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2519034