KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Perarakan kavadi, alunan doa serta gema muzik tradisional mengiringi sambutan Thaipusam hari ini, apabila penganut Hindu, kebanyakannya berpakaian tradisional memenuhi kuil-kuil utama di seluruh negara dalam suasana penuh keinsafan, keharmonian dan kemeriahan.
Tinjauan Bernama di Kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, di sini, antara rumah ibadat utama penganut Hindu, mendapati ribuan penganut mula berkumpul seawal pagi bagi menunaikan nazar masing-masing sempena perayaan berkenaan.
Upacara membawa Paal Kudam (belanga susu) serta mencukur rambut turut menyerikan sambutan sebagai simbol pengorbanan, penyucian diri dan kebergantungan kepada Dewa Murugan, dengan kebanyakan penganut mengenakan pakaian berwarna kuning yang melambangkan simbol suci dan positif.
Bukan itu sahaja, sambutan perayaan keagamaan berkenaan turut menarik kehadiran orang ramai termasuk pelancong dari luar negara yang ingin menyaksikan keunikan Thaipusam, antara perayaan keagamaan paling signifikan di Malaysia.
Pelancong dari Turkiye yang hanya mahu dikenali sebagai Elfie, 33, menyifatkan lawatannya ke Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves sebagai pengalaman yang amat mengujakan, kerana ini kali pertama dia menyaksikan sambutan keagamaan yang sungguh meriah.
“Sambutan perayaan di sini amat berbeza. Ia unik dan meriah, dengan upacara penuh warna-warni, semangat pengabdian yang tinggi dalam kalangan penganut, serta suasana yang meriah sepanjang sambutan,” katanya.
Elfie, yang berkunjung ke Malaysia buat kali pertama berkata pengalaman itu sungguh bermakna dan memberikan peluang untuk mempelajari tentang kepelbagaian budaya dan keagamaan di negara ini.
Sementara itu, pengunjung tempatan Nordin Sabli, 51, berkata kunjungannya ke Batu Caves buat kali kedua pada tahun ini adalah untuk membawa isterinya yang berasal dari Jepun, Nabuko Takahashi, 49, yang mempunyai minat mendalam terhadap kepelbagaian budaya.
“Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya, jadi saya ingin memperkenalkan atau mendekatkan isteri dan anak-anak dengan kelebihan yang ada di negara ini, lagipun isteri saya memang suka dan ingin pelajari kepelbagaian budaya ini.
"Jadi saya sokong dia dan secara tidak langsung saya pun lebih memahami tentang agama serta budaya (penganut Hindu) sebab kadang-kadang dengan membaca buku sahaja tidak cukup apabila kita melihat dengan mata sendiri," katanya yang telah mendirikan rumah tangga selama 23 tahun.
Suasana perayaan di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Kuala Selangor, SELANGOR turut meriah apabila lebih 5,000 penganut Hindu mula memenuhi pekarangan kuil itu seawal pagi untuk menunaikan nazar serta menghadiri upacara keagamaan.
Turut hadir ialah Exco Sumber Manusia, Pembasmian Kemiskinan, Hal Ehwal Orang Asli dan Minoriti negeri V. Papparaidu yang tiba pada 8.30 pagi dan Pengerusi Kuil Sri Subramaniar Swamy Kuala Selangor P. Kannathasan.
Papparaidu berkata kehadiran penganut Hindu dijangka terus meningkat sepanjang hari dengan anggaran kira-kira 30,000 pengunjung menjelang malam ini.
“Kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan bagi memastikan kelancaran upacara keagamaan serta keselamatan pengunjung,” katanya kepada pemberita.
Selain menunaikan ibadah, sumbangan berbentuk makanan, botol air mineral dan susu turut disediakan untuk diagihkan kepada para penganut Hindu sebagai tanda keprihatinan dan sokongan komuniti setempat.
Sementara itu di PULAU PINANG, ribuan penganut Hindu membanjiri Jalan Kebun Bunga di Georgetown seawal 4 pagi dengan memakai pakaian berwarna kuning yang melambangkan kesucian, sebelum berjalan sejauh dua kilometer (km) ke Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani, di sini.
Pelancong dari Perancis,Pierre Laurent, 45, berkata dia amat kagum menyaksikan sambutan yang meriah dan sarat dengan nilai rohani, serta menyifatkan perayaan itu sebagai pengalaman budaya yang unik dan tiada bandingannya.
“Pulau Pinang cukup terkenal dengan warisan dan makanannya, tetapi menyaksikan perayaan ini menambahkan lagi kekayaan budayanya,” katanya sambil menambah bahawa Thaipusam memberikan gambaran lebih jelas mengenai identiti berbilang kaum di Malaysia.
Di KEDAH, penganut Hindu berkumpul seawal 2.30 pagi di Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Sungai Petani, dengan kawasan sekitar kuil itu dimeriahkan pelbagai aktiviti seperti pengagihan makanan dan minuman secara percuma kepada pengunjung.
Turut kelihatan beberapa individu termasuk pelancong luar negara mengambil kesempatan mengunjungi serta merakam kemeriahan sambutan perayaan itu.
Seorang pelancong dari Jerman yang hanya mahu dikenali sebagai Ute, 77, berkata dia bersama empat rakan berpeluang menyaksikan kemeriahan sambutan dan teruja dengan keunikan adat serta kebudayaan di Malaysia, khususnya pakaian tradisional penganut Hindu yang berwarna-warni.
Sementara itu, anak kelahiran Kedah yang kini bekerja di Thailand, Vincent Chia, 42, kehadirannya di kuil berkenaan untuk merakamkan suasana sambutan keagamaan itu selain mengenali lebih dekat adat dan budaya masyarakat India.
Di PERAK, Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh di Ipoh menjadi lokasi tumpuan ribuan penganut Hindu setiap kali sambutan perarakan pedati menuju ke Kuil Sri Subramaniar bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari di Buntong sejak malam tadi.
Deretan reruai menjual makanan, minuman dan pakaian turut dibuka di sekitar kawasan kuil, selain segelintir penganut Hindu kelihatan membawa Paal Kudam (belanga susu) bagi menyempurnakan nazar masing-masing di kuil tertua di Perak yang berusia lebih 100 tahun itu.
Sementara itu, Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi hantaran Facebook berharap perayaan itu menjadi ruang mempererat hubungan kekeluargaan dan persahabatan serta membawa kesejahteraan dan kebahagiaan untuk mereka yang meraikan perayaan itu.
Di JOHOR, Kuil Arulmigu Thendayuthapani mula dipenuhi penganut sejak awal pagi dengan membawa archenai, iaitu talam yang diisi kelapa, wang, buah-buahan dan bunga bagi memohon keberkatan serta kesejahteraan, selain menunaikan nazar kepada Dewa Murugan.
Kira-kira 50,000 penganut dijangka menghadiri sambutan Thaipusam di kuil berkenaan, dengan tumpuan kepada perarakan kavadi dan kereta hias yang berlangsung selama dua hari bermula semalam hingga hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Johor K. Raven Kumar dalam hantaran Facebook berkata Thaipusam sarat dengan makna pengorbanan, keinsafan serta kekuatan spiritual, sekali gus melahirkan nilai kesabaran, disiplin dan ketekunan yang dizahirkan sepanjang ibadat ini.
Di NEGERI SEMBILAN, kira-kira 2,500 penganut Hindu hadir pada sambutan Thaipusam di Kuil Sri Bala Thandayuthapani, Seremban yang juga kuil tertua dan terbesar di negeri itu, dan pelbagai aktiviti serta program dianjurkan tahun ini.
Pengerusi Kuil Sri Bala Thandayuthapani, R. Parameswaran, 62, berkata pihak pengurusan kuil menyediakan 5,000 pek makanan percuma kepada pengunjung selepas selesai upacara sembahyang dan kesucian pada 12 tengah hari.
Di PERLIS, sambutan Thaipusam diraikan secara sederhana, menyaksikan kira-kira 100 penganut Hindu hadir seawal 5.30 pagi bagi menunaikan sembahyang di Kuil Arulmigu Arumugaswamy Dhevasthanam.
Pengerusinya Dr R. Hari Ram berkata sambutan di negeri itu lebih menekankan aspek keagamaan dan ketenangan beribadat berbanding kemeriahan berskala besar.
Tinjauan Bernama di MELAKA pula mendapati penglibatan aktif anak muda membantu pihak pengurusan Kuil Sri Subramaniar Devasthanam, Batu Berendam, bagi melancarkan sambutan Thaipusam kali ini.
Seorang daripadanya, N. Darwin, 20, berkata dia hadir seawal 6.30 pagi bersama abangnya untuk membantu mengagihkan "mor", iaitu sejenis susu kepada penganut Hindu yang menunaikan nazar, selain berganding bahu dengan sukarelawan lain.
“Saya sudah beberapa tahun membantu mengagihkan mor di kuil ini. Saya memang minat ikut abang-abang yang rajin membantu setiap kali ada sambutan,” katanya.
Keunikan sambutan Thaipusam di SABAH turut terserlah apabila masyarakat Cina, Kadazan dan Melayu bersama-sama hadir memeriahkan suasana Kuil Sri Subramaniar, Lok Kawi, sekali gus mencerminkan keharmonian dan semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum Negeri di Bawah Bayu.
Bagi Connie Josech, 50, seorang penganut Kristian, penglibatannya dalam sambutan Thaipusam bermula sejak beliau berkahwin dengan suaminya yang beragama Hindu kira-kira 20 tahun lepas.
“This is Sabah, we are unique. Walaupun berbeza latar belakang dan agama, kami hidup saling menghormati dan meraikan perayaan bersama-sama sebagai sebuah keluarga dan komuniti,” katanya.
-- BERNAMA