PASIR MAS, 1 Feb (Bernama) -- Nilai rampasan hasil penguatkuasaan Ops Tiris sejak 2024 hingga Januari 2026 mencecah hampir RM179 juta, mencerminkan skala ketirisan barangan kawalan bersubsidi yang berjaya dibanteras Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata jumlah itu merangkumi rampasan bernilai RM91.59 juta pada 2024, RM81.69 juta pada 2025 serta RM5.73 juta bagi tempoh Januari 2026 hasil penguatkuasaan bersepadu bersama agensi berkaitan.
Beliau berkata sepanjang tempoh itu, Ops Tiris 3.0 menyaksikan sebanyak 93,887 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara, merekodkan 5,269 kes dan 660 tangkapan.
“Walaupun nilai rampasan adalah besar, statistik menunjukkan keberkesanan strategi penguatkuasaan apabila jumlah kes menurun sebanyak 14.2 peratus pada 2025 berbanding 2024, manakala nilai rampasan turut mencatatkan penurunan 10.8 peratus,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang, di sini hari ini.
Azman berkata bagi Januari tahun ini, sebanyak 3,237 pemeriksaan telah dijalankan, mencatatkan 183 kes, 39 tangkapan serta rampasan bernilai RM5.73 juta.
Analisis mengikut komoditi mendapati petrol, diesel dan minyak masak kekal sebagai barangan kawalan yang paling kerap cuba diselewengkan, namun menunjukkan trend penurunan sejak 2025.
“Kes melibatkan petrol menurun daripada 969 kes pada 2024 kepada 797 kes pada 2025, manakala 49 kes direkodkan pada awal 2026. Kes diesel pula menurun daripada 744 kepada 503 kes, manakala kes minyak masak berkurang daripada 479 kepada 404 kes,” katanya.
Selain pendakwaan dan kompaun, tindakan tegas yang turut diambil termasuk penarikan serta penggantungan lesen borong dan runcit, selain penggantungan kuota Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) terhadap syarikat pembungkus yang melanggar peraturan.
Pada peringkat rantaian bekalan, beliau berkata audit forensik dilaksanakan ke atas syarikat pembungkus dengan sokongan pemantauan masa nyata melalui sistem eCOSS yang dinaik taraf serta penggunaan aplikasi mudah alih eCOSS secara rintis pada peringkat runcit.
Azman berkata KPDN turut mempergiat pemeriksaan di stesen minyak bagi memastikan pematuhan penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah Program BUDI MADANI RON95, termasuk larangan penjualan kepada kenderaan berpendaftaran asing serta kawalan ketat di stesen berhampiran sempadan.
“Pendigitalan penguatkuasaan diperkukuh melalui penggunaan kad flit di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi yang merekodkan setiap transaksi secara masa nyata,” katanya.
Walaupun jumlah kes, nilai rampasan dan aduan menunjukkan trend penurunan, KPDN berpandangan masih terdapat ruang penambahbaikan bagi memastikan aktiviti penyeludupan dan ketirisan dapat dibanteras dengan lebih berkesan.
Sehubungan dengan itu, beliau berkata KPDN akan menggubal peraturan larangan pembelian minyak masak peket bersubsidi oleh bukan warganegara yang disasarkan berkuat kuasa mulai 1 Mac depan, selain memperkenalkan peraturan baharu melarang pembelian RON95 bersubsidi oleh kenderaan berpendaftaran asing bermula 1 April tahun ini.
-- BERNAMA