JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kenal Pasti Suspek Pergaduhan Di Kedai Serbaneka

01/02/2026 05:13 PM

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Bernama) -- Polis telah mengenal pasti suspek kes pergaduhan di sebuah kedai serbaneka di Petaling Jaya dekat sini yang tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shamsudin Mamat berkata pekerja premis itu membuat laporan pada 3.26 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati insiden bermula apabila suspek masuk ke dalam premis dalam keadaan mabuk dan bertindak mengganggu pekerja sehingga mencetuskan pergaduhan yang mengakibatkan kecederaan ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan polis akan memanggil suspek serta saksi untuk dirakam percakapan.

Beliau menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak tepat atau membuat sebarang spekulasi tidak benar di media sosial berhubung insiden itu.

Mereka yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya menerusi talian 03-79662222 atau Inspektor Muhamad Shahiren Ibrahim 019-5693864 atau ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan.

Video kejadian itu tular di media sosial memaparkan dua lelaki sedang bergelut di hadapan kaunter bayaran sebuah kedai serbaneka yang turut disaksikan beberapa pelanggan lain.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2519171