GEORGE TOWN, 2 Feb (Bernama) -- Dua anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) cedera selepas belon berisi gas yang dirampas meletup sebelum mencetuskan kebakaran, semalam.
MBPP dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian berlaku pada 7.55 malam di hadapan pejabat Jabatan Pelesenan MBPP di Lebuh Union di sini.
“Seorang anggota melecur pada kedua-dua tangan dan sebelah muka dirawat di Hospital Pulau Pinang manakala seorang lagi cedera ringan dan berehat di rumah,” menurut kenyataan itu.
MBPP memaklumkan kejadian berlaku semasa pegawai penguat kuasa mencucuk belon dirampas dalam penguatkuasaan bagi melepaskan gas yang dilakukan di hadapan pejabat itu tanpa kehadiran orang awam.
Kejadian itu juga menyebabkan bahagian belakang sebuah kenderaan MBPP serta peralatan yang dirampas terbakar.
MBPP memaklumkan Jabatan Pelesenan telah menjalankan pemantauan terhadap penjaja tanpa lesen di Jalan Macalister, Jalan Utama dan Jalan Gottlieb sejak 31 Jan dan mendapati terdapat aktiviti penjualan belon berisi gas ringan tanpa lesen.
“Pihak majlis telah mengeluarkan arahan lisan kepada penjaja terlibat supaya menghentikan aktiviti jualan dan beredar dari kawasan itu namun pemerhatian pada 31 Jan dan 1 Feb mendapati segelintir mereka masih mengingkari arahan.
“Susulan itu, tindakan merampas belon berkenaan bersama-sama peralatan terlibat di Jalan Gottlieb dibuat penguat kuasa MBPP petang semalam sebelum membawanya ke pejabat Jabatan Pelesenan MBPP untuk pelupusan,” menurut kenyataan itu.
MBPP memaklumkan laporan berhubung insiden itu dibuat semalam kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain pihaknya turut meneliti langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian seperti itu berulang.
Terdahulu, rakaman kejadian itu tular di media sosial menunjukkan sebuah pacuan empat roda milik MBPP terbakar akibat letupan belon.
-- BERNAMA