DUNIA

Lagu Golden Daripada KPop Demon Hunters Rangkul Anugerah Grammy

02/02/2026 07:51 PM

SEOUL, 2 Feb (Bernama-Yonhap) -- "Golden", lagu tema daripada siri animasi popular Netflix "KPop Demon Hunters", memenangi kategori Lagu Terbaik Ditulis untuk Media Visual di Anugerah Grammy ke-68, sekali gus mencatatkan sejarah pertama bagi genre K-pop, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kejayaan itu diumumkan semasa acara premier  di Arena Crypto.com, Los Angeles pada Ahad (waktu Amerika Syarikat). Walaupun jurutera rakaman Korea Selatan, Hwang Byeong-joon dan artis Korea-Amerika, Yungin pernah memenangi Grammy sebelum ini, "Golden" merupakan kali pertama penerbit atau penulis lagu K-pop membawa pulang anugerah berprestij itu.

Penulis lagu Ejae, Teddy, 24 dan Ido diiktiraf sebagai pemenang rasmi bagi lagu berkenaan.

Selepas kemenangan itu, penerbit dan komposer 24 mendedikasikan anugerah itu kepada Teddy yang tidak menghadiri majlis berkenaan. Beliau menyifatkan Teddy sebagai mentor, rakan karib, serta perintis muzik K-pop yang menjadi tulang belakang kepada proses kreatif lagu itu.

Dinyanyikan oleh artis Korea-Amerika iaitu Ejae, Audrey Nuna dan Rei Ami sebagai kumpulan gadis dalam filem, Huntr/x, "Golden" mencetuskan fenomena global dengan menduduki carta teratas Billboard Hot 100 dan Carta Single Rasmi Britain Top 100.

Diterbitkan oleh Sony Pictures Animation, "KPop Demon Hunters" mengisahkan tentang trio berkenaan yang menjalani dua kehidupan, mengimbangi kerjaya muzik dengan tugas sebagai pahlawan yang melindungi dunia daripada roh jahat seperti pemerintah Gwi-Ma dan Saja Boys yang mencuri roh manusia.

Dalam satu lagi kategori yang menjadi tumpuan, anugerah Persembahan Duo/Kumpulan Pop Terbaik dimenangi oleh Cynthia Erivo dan Ariana Grande menerusi lagu "Defying Gravity" daripada runut bunyi filem "Wicked". Mereka menewaskan calon lain termasuk Rose daripada kumpulan BLACKPINK dengan lagu "APT." serta Katseye menerusi lagu "Gabriela".

-- BERNAMA-YONHAP

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2519431