GAYA HIDUP

G-Dragon, Hwasa Hangatkan Konsert K-Spark Di Stadium Merdeka

02/02/2026 03:32 PM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- Malaysia sekali lagi menjadi destinasi pilihan bintang K-pop menerusi konsert mega K-SPARK pada malam Sabtu.

Sorakan ribuan peminat dari dalam dan luar negara bergema di Stadium Merdeka meraikan barisan artis ternama seperti G-Dragon, Hwasa, ITZY dan DPR IAN.

Momentum keterujaan peminat terhadap gelombang Hallyu itu berlanjutan selepas konsert Super Junior pada Januari lepas di Axiata Arena. 

Seawal 2 petang, pekarangan stadium mula dibanjiri peminat yang tampil bergaya mengikut penampilan idola masing-masing biarpun konsert hanya bermula pada 9 malam.

pic-2

Istimewanya, konsert anjuran KLOOK Malaysia itu bukan sahaja menampilkan penghibur ternama dari Korea Selatan, malah turut membuka ruang kepada artis tempatan apabila kumpulan popular Malaysia, Dolla, diberikan penghormatan membuka tirai persembahan.

Kemeriahan konsert diteruskan dengan kemunculan 3P (ThreeeProduction), kumpulan pencipta kandungan dan artis tari tempatan yang memeriahkan suasana menerusi lagu PA SANG Anthem sebelum pentas diambil alih oleh ITZY.

pic-3

Kumpulan idol wanita di bawah naungan JYP Entertainment itu menguasai pentas dengan rangkaian lagu berimpak tinggi termasuk Tunnel Vision, Imaginary Friend, Kiss & Tell, DALLA DALLA dan Not Shy.

“Kami sangat gembira berada di Malaysia. Sudah lama tidak berjumpa. Anda rindukan kami?" kata mereka, disambut jeritan tidak putus ribuan peminat.

pic-4

Nada konsert kemudian berubah apabila DPR IAN tampil dengan persembahan yang mengaburkan sempadan antara muzik dan seni visual, lengkap dengan sut hitam yang menyerlahkan konsep artistiknya.

Walaupun tidak berada pada tahap kesihatan terbaik, pemilik nama sebenar Christian Yu itu tetap meneruskan persembahan dengan menyampaikan tujuh lagu termasuk MOOD, Don’t Go Insane, So Beautiful dan LIMBO dalam nuansa lebih intim dan mendalam.

pic-5

Sorakan semakin memuncak apabila Hwasa muncul di pentas, memukau penonton dengan aura matang dan karismatik menerusi lagu popular seperti Chili, TWIT, Maria dan Good Goodbye.

Penyanyi berusia 31 tahun yang juga anggota kumpulan Mamamoo itu tampak selesa dan yakin dalam persembahan solonya, dengan penonton tidak melepaskan peluang untuk menyanyi bersama.

"Ini pertama kali saya membuat persembahan secara solo di sini. Mari jadikan malam ini kenangan yang tidak akan dilupakan," katanya.

pic-6

Detik paling dinantikan akhirnya tiba apabila ikon K-pop paling berpengaruh, G-Dragon, muncul di pentas pada 10.53 malam, disambut jeritan peminat sebaik alunan lagu POWER bergema.

Raja K-pop itu kemudian menguasai pentas hampir satu jam dengan deretan lagu popularnya seperti Home Sweet Home, Crayon dan Too Bad sebelum menoktahkan konsert dengan Crooked pada 11.26 malam.

“Jangan lupakan saat ini. Malam ini, kita semua bersama di Malaysia. Saya cinta kamu," katanya mengakhiri persembahan. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2519347