PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bersama agensi berkaitan memperhebatkan operasi terhadap kegiatan pengimportan sisa elektronik (e-waste) secara haram di negara ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Perdana Menteri mahu AKPS untuk bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi berkaitan bagi membanteras kegiatan itu.
“Perdana Menteri dengan keras mengarahkan sekiranya ada mana-mana pegawai penguat kuasa yang terlibat memberi perlindungan dan mengambil imbuhan rasuah dalam kegiatan penyeludupan itu, tindakan tegas perlu ambil tanpa mengira siapa,” katanya.
Berucap pada majlis amanat Ketua Pengarah AKPS di sini hari ini, beliau berkata isu integriti dalam kalangan semua agensi penguat kuasa negara sekali lagi dibangkitkan Perdana Menteri sehinggakan beliau secara terbuka mengatakan sudah hilang kesabaran.
“Isu integriti dalam AKPS telah saya utarakan sejak awal kemasukan saya ke AKPS. Sejak itu, kerjasama dengan SPRM dan Jabatan Imigresen kita perhebatkan dan hasilnya 39 orang ditangkap oleh SPRM, ada yang telah didakwa dan dikenakan tindakan tatatertib.
“...yang pasti senarai mereka yang terlibat dalam counter setting ataupun flying passport ini masih belum menemui titik noktahnya. Maklumat risikan dan aduan masih diterima cuma bukti masih belum diperoleh,” katanya.
Mohd Shuhaily sekali menegaskan beliau bersama pucuk pimpinan AKPS tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam aktiviti yang memudaratkan keselamatan negara.
Sementara itu, beliau berkata penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) AKPS pada tahun ini, akan memberi penekanan kepada nilai rampasan dan penyelamatan dana kerajaan daripada ketirisan.
“Harus diingat bahawa AKPS bukanlah agensi yang memunggut cukai...dua kayu pengukur baharu itu perlu diperhalusi dengan lebih lanjut. Pendekatan ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengutamakan sudut keselamatan negara bagi menutup segala ruang ketirisan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri berkata Kerajaan MADANI memberi laluan penuh kepada pihak berkuasa untuk membanteras aktiviti rasuah dan salah guna kuasa termasuk kegiatan pengimportan e-waste secara haram di negara ini.
Anwar berkata Jemaah Menteri secara tegas melarang perbuatan menjadikan Malaysia sebagai tempat pembuangan e-waste.
Dalam perkembangan berasingan, Mohd Shuhaily berkata AKPS akan memulakan operasi di pintu masuk baharu iaitu Rel Transit Sistem (RTS) di Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands di Singapura tahun ini dengan Rang Undang-Undang RTS akan dibentangkan pada sesi Parlimen ini.
Pada Ahad, media melaporkan RTS Link Johor Bahru-Singapura bakal dilengkapi 100 e-gate atau pagar elektronik di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar bagi melancarkan proses pelepasan rentas sempadan antara kedua-dua negara.
-- BERNAMA