Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Pembukaan semula Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS) semalam bukan hanya menghidupkan kembali mercu tanda warisan negara malah membuka lembaran kenangan peribadi seorang wanita yang pernah menabur bakti di bangunan bersejarah itu lebih empat dekad lepas.
Bagi M. Saraswathy, 64, setiap sudut binaan batu dengan seni bina kolonial itu menyimpan 1,001 memori perjalanan hidupnya sebagai jurubahasa mahkamah pada 1980-an yang disifatkannya sebagai membanggakan untuk diceritakan kepada sesiapa sahaja.
pic-2
“Saya bekerja sebagai jurubahasa mahkamah dengan Tan Sri V.C. George (bekas Hakim Mahkamah Rayuan) selama kira-kira 10 tahun. Bila saya melangkah masuk semula ke bangunan ini, saya terpaku. Semua memori menerpa satu per satu, tempat di mana saya berdiri, di mana saya bekerja.
“Saya datang pun sebab nak tengok semula tempat saya bekerja dulu. Mahkamah di tingkat bawah sekarang jadi galeri, di situlah tempat saya cari rezeki,” katanya ketika ditemui Bernama di BSAS.
pic-3
Beliau berkata antara kenangan yang paling sukar dilupakan ialah peluang bersua muka dengan negarawan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang hadir ke bangunan itu bagi urusan mahkamah.
“Saya jumpa Tuanku Abdul Rahman di koridor bawah. Detik itu sangat luar biasa. Selama ini hanya baca dalam buku sejarah tetapi hari itu saya melihatnya di depan mata,” katanya.
pic-4
Mengenai pandangannya terhadap kerja pemuliharaan yang dilaksanakan, Saraswathy menyifatkan usaha tersebut berjaya mengekalkan keaslian seni bina bangunan warisan itu.
“Batu-batu asal masih ada, bentuk asal pun tidak diubah. Mereka cuma bersihkan dan cat semula. Itu yang buat saya puas hati,” katanya sambil berharap BSAS terus dipelihara sebagai khazanah negara serta dimanfaatkan sebagai tarikan pelancong dan ruang pendidikan sejarah untuk generasi akan datang.
pic-5
Sementara itu, pengunjung muda Nur Balqis Batrisyia Muhamad Hanipiah, 18, berkata meskipun menetap di ibu negara, ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke dalam bangunan bersejarah itu.
Katanya kunjungan tersebut didorong rasa ingin tahu selepas melihat perkongsian di media sosial, khususnya TikTok, yang memaparkan tarikan baharu dalam bangunan berkenaan.
“Sebelum ini saya cuma lalu depan sahaja, tak tahu apa yang ada di dalam. Tapi bila tengok di TikTok, baru tahu ada galeri, kafe dan banyak sudut menarik untuk bergambar.
“Reka bentuk dan seni binanya memang cantik. Dari segi visual pun sangat menarik, sesuai untuk ambil gambar dan orang yang minat seni reka bentuk macam saya,” katanya.
pic-6
Bagi pemandu pelancong, William Wong, 41, minat terhadap sejarah mendorong dia mengunjungi bangunan yang baru dibuka semula itu.
Walaupun sebelum ini sering mengambil gambar di bahagian luar bangunan, dia berkata kunjungan kali ini merupakan pengalaman pertama melangkah masuk ke dalam premis berkenaan.
“Saya datang kerana ia bangunan bersejarah dan ada galeri. Di sini kita boleh lihat dengan lebih jelas sejarah Kuala Lumpur,” katanya.
pic-7
Wong berkata pembukaan semula bangunan itu memberi peluang kepada orang ramai, khususnya generasi muda dan pelancong asing, untuk memahami perkembangan Kuala Lumpur dari era kolonial hingga ke hari ini.
Sabtu lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan Majlis Penyempurnaan Pemuliharaan BSAS Fasa 1, setelah kerja konservasi dan pemuliharaan selama 11 bulan siap dijalankan di bawah program Dana Warisan Khazanah, satu inisiatif Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).
-- BERNAMA