KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Olahraga Malaysia (OM) hari ini menyelesaikan bayaran hadiah ganjaran kepada bekas atlet olahraga yang pernah dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan pada era kegemilangan masing-masing.
Hadiah wang keseluruhan berjumlah RM65,000 itu diberikan kepada bekas atlet olahraga berkenaan pada Malam Anugerah Olahraga Malaysia 2026 yang berlangsung di sini, malam ini.
Antara atlet yang menerima ganjaran itu ialah Tan Sri Dr M. Jegathesan, Gladys Chai Ng Mei, Khoo Chong Beng, V. Subramaniam, Datuk Rabuan Pit, Datuk M. Rajamani dan Datuk Zaiton Othman.
Bagi Rajamani, beliau bersyukur akhirnya menerima ganjaran berkenaan selepas enam dekad.
“Penantiannya sangat lama dan nilai wang itu juga sudah menyusut, namun saya berterima kasih kepada pihak OM kerana masih menghargai jasa kami,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang menyampaikan ganjaran itu berkata jasa dan pengorbanan atlet terdahulu wajar terus dikenang.
“Mereka mungkin serba kekurangan dari segi persiapan dan ganjaran, namun kaya dengan pengorbanan, perjuangan dan semangat patriotisme.
“Kadangkala misi itu dilihat mustahil, tetapi merekalah yang membuktikan mustahil itu boleh dicapai dengan kekuatan jati diri dan motivasi,” katanya.
Dalam majlis yang sama, OM turut memberikan ganjaran berjumlah RM32,500 kepada atlet olahraga negara yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan dari 2022–2025.
-- BERNAMA