GEORGE TOWN, 4 Feb (Bernama) -- Sambutan Thaipusam di Pulau Pinang tahun ini berlangsung dengan teratur, aman dan selamat hasil kerjasama erat pelbagai pihak.
Timbalan Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (LWHPP) Dr R. Lingeshwaran berkata perayaan empat hari itu disifatkan antara yang paling berjaya dan selamat dalam sejarah penganjurannya.
"Dari perspektif perubatan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan 34 individu menerima rawatan di tapak manakala 10 pesakit dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
"Pasukan ambulans yang mengiringi pedati emas pula bertindak terhadap tujuh kes, dengan dua dirujuk ke hospital," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Thaipusam 2026 juga diiktiraf antara paling bersih hasil komitmen Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan kerjasama penganut Hindu dengan 127 tan sisa kelapa berjaya dibersihkan manakala kira-kira 225,000 liter susu telah dibuang dengan selamat di Pulau Burung mengikut garis panduan kesihatan awam dan alam sekitar.
Lingeshwaran berkata jawatankuasa pengurusan melaksanakan laluan yang ditetapkan di sekitar kuil sebelum penganut memasuki kawasan utama yang berjaya mengurangkan 27 peratus jumlah kesesakan di tangga selain bilangan kes orang pengsan dan jatuh di tangga juga lebih rendah.
Beliau berkata pasukan petugas yang ditubuhkan LWHPP juga berjaya mencegah pertembungan kavadi seperti yang berlaku pada tahun-tahun sebelumnya manakala pengiraan tabung derma bagi Thaipusam 2026 akan diadakan pada 6 Feb.
Katanya LWHPP turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi kerajaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKNPP, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), MBPP, sukarelawan, jawatankuasa kuil dan orang ramai atas disiplin dan kerjasama mereka.
Lingeshwaran berkata beliau turut berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke kerana menyediakan perkhidmatan bas dan feri percuma serta Menteri Digital Gobind Singh Deo atas penyediaan skrin LED di beberapa lokasi yang membolehkan para penganut mengikuti upacara dengan selesa.
Sebanyak 1,280 anggota polis telah dikerahkan untuk memastikan keselamatan awam dan 1.1 juta penganut dan pelawat menghadiri sambutan Thaipusam di Pulau Mutiara itu dari 31 Jan hingga 3 Feb.
-- BERNAMA