DUNIA

Pentadbiran Trump Tarik Balik 700 Ejen Imigresen Persekutuan Dari Minnesota

05/02/2026 11:15 AM

WASHINGTON, 5 Feb (Bernama-Anadolu) -- Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump merancang untuk menarik balik 700 ejen imigresen persekutuan dari negeri Minnesota, kata penasihat sempadan (border czar) Tom Homan pada Rabu, sekali gus mengurangkan penempatan yang mencetuskan kontroversi di seluruh negara, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Memandangkan peningkatan kerjasama yang belum pernah berlaku sebelum ini dan hasil daripada keperluan yang lebih rendah terhadap pegawai penguat kuasa undang-undang untuk melaksanakan tugas ini dalam persekitaran yang lebih selamat, saya mengumumkan bahawa berkuat kuasa serta-merta, kami akan menarik balik 700 orang,” katanya pada sidang media di Minneapolis.

Homan berkata pentadbiran itu juga telah bertindak “serta-merta” untuk mengutamakan pelaksanaan penuh penggunaan kamera badan di bandar berkenaan.

Protes terhadap operasi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) serta insiden tembakan oleh ejen imigresen persekutuan telah berlangsung lebih sebulan di negeri Minnesota.

Demonstrasi semakin memuncak dan merebak ke seluruh negara susulan kematian Alex Pretti, 37, seorang jururawat unit rawatan rapi, yang ditembak mati oleh pegawai imigresen pada 24 Jan lepas serta pembunuhan Renee Nicole Good, 37, seorang ibu kepada tiga anak, pada 7 Jan lalu.

Insiden tembakan melibatkan Pretti meningkatkan ketegangan apabila pemimpin tempatan dan negeri menuntut siasatan bebas serta mempersoalkan kerjasama persekutuan dengan pihak berkuasa.

Presiden Donald Trump memberitahu NBC News pada Rabu bahawa beliau sendiri membuat keputusan untuk mengurangkan kehadiran penguatkuasaan imigresen persekutuan.

Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer berkata pada Rabu bahawa pengumuman Homan mengesahkan penyelesaian sebenar terhadap ICE tidak akan datang daripada cabang eksekutif.

“Biar jelas, pengumuman Homan masih belum mencukupi. Tujuh ratus pegawai itu hanyalah sebahagian kecil bagi penduduk Minneapolis memandangkan lebih 2,000 ejen yang mewakili 70 peratus ejen, masih akan berada di jalanan, bertindak ganas terhadap rakyat serta menyalahgunakan kuasa terhadap orang awam,” katanya.

Sambil menyeru ejen berkenaan meninggalkan bandar itu, beliau menggesa penggubalan undang-undang, dan “bukan perintah eksekutif yang tertakluk kepada kehendak Donald Trump.”

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520298