PUTRAJAYA, 5 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) menahan 24 pendatang tanpa izin atas pelbagai kesalahan menerusi operasi di sebuah premis gudang di Telok Panglima Garang, Selangor, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata dalam operasi yang bermula pada 10.55 pagi itu, dua lelaki warga China, sembilan lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga India, dua lelaki dan lapan perempuan warga Myanmar serta satu perempuan warga Kemboja, telah ditahan.
"Semakan awal mendapati dua warga China yang ditahan telah menyalahgunakan pas yang dimiliki, dua warga Bangladesh yang ditahan telah tinggal lebih masa, manakala warganegara asing yang lain tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata pasukan operasi turut menyita tiga pasport Bangladesh, tiga pasport Myanmar, dua pasport China dan satu pasport Kemboja, serta satu kenderaan jenis Mercedes Benz yang dipercayai digunakan dalam aktiviti terbabit.
Beliau berkata premis gudang itu dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan dan pembungkusan barangan dari China untuk dihantar kepada pelanggan yang membuat pesanan melalui platform aplikasi dalam talian.
"Bagi mengelakkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa, aktiviti tersebut dijalankan di premis terpencil yang terletak di kawasan kelapa sawit dan tidak mempunyai papan tanda perniagaan.
"Seorang daripada warga China yang ditahan turut dipercayai menggajikan warganegara asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pas lawatan kerja yang sah untuk bekerja di negara ini," katanya dan menambah premis gudang itu dipercayai telah beroperasi selama enam bulan.
Zakaria berkata warga asing berkenaan disiasat di bawah Per.39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta Seksyen 55B, Seksyen 15(4) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.
Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
"Jabatan akan terus bertindak tegas tanpa kompromi terhadap pelanggaran undang-undang, selaras dengan prinsip MADANI yang mengutamakan integriti, keadilan dan ketenteraman awam," katanya.
-- BERNAMA