SUKAN

Pan Gon Puji Daya Tahan Red Giants Selepas Sahkan Slot Separuh Akhir

05/02/2026 01:18 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Ketua jurulatih Selangor FC Kim Pan Gon memuji daya tahan dan semangat berpasukan skuad Red Giants selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Kelab Bola Sepak ASEAN 2025/2026 walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika terikat 1-1 dengan BG Pathum United dari Thailand malam tadi.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata para pemainnya menunjukkan perwatakan yang hebat serta ketahanan mental untuk menahan tekanan selama kira-kira 70 minit pada perlawanan terakhir Kumpulan A di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu berkata keputusan itu menandakan kemajuan yang konsisten dan bukannya satu pencapaian besar.

“Pemain mempunyai semangat. Pemain mempunyai keinginan. Kami mahu layak. Kami mahu ke separuh akhir. Itu adalah perlawanan yang penting. Kami menunjukkan semangat berpasukan dan kekuatan kami… Selangor… Red Giants.

“Kami kini selangkah ke hadapan. Kami telah bertambah baik. Saya amat berbangga dengan semua pemain yang telah mengatasi halangan yang sangat sukar ini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Dalam pertemuan malam tadi, Selangor menerima tamparan apabila terpaksa bermain dengan 10 pemain seawal minit ke-26 selepas pemain tengah Alvin Fortes dilayangkan kad merah kerana mengasari Kritsada Kaman.

Beraksi dengan 10 pemain, Selangor mendahului menerusi kapten Mohamad Faisal Abdul Halim pada minit ke-36 sebelum BG Pathum United menyamakan kedudukan hasil hantaran lintang dari sebelah kanan yang ditolak masuk ke gawang sendiri oleh pertahanan Selangor Richmond Ankrah pada minit ke-64.

Satu mata yang kutip itu membolehkan Selangor menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua selepas berkongsi sembilan mata dengan satu lagi wakil Thailand dan juara bertahan Buriram United, yang menduduki tempat teratas kumpulan berdasarkan perbezaan jaringan selepas membelasah Dynamic Herb Cebu FC dari Filipina 6-0 di laman sendiri.

Pada aksi separuh akhir yang akan berlangsung secara timbal balik bermula Mei, Buriram United akan menentang naib juara Kumpulan B manakala Selangor akan bertemu juara Kumpulan B.

Nam Dinh dari Vietnam kini mendahului Kumpulan B dengan 12 mata menjelang pertemuan mereka dengan pendahulu Liga Super Johor Darul Ta'zim (JDT), yang berada di tempat kedua dengan 10 mata, dalam perlawanan terakhir di Ninh Binh malam ini.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520321