KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sebanyak RM4.42 juta disalurkan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) melibatkan RM2.6 juta bagi penerima Sukan SEA 2025 dan RM1.475 juta untuk Sukan Para ASEAN 2025 di Thailand.
Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata insentif itu antara usaha kerajaan menghargai sumbangan atlet negara supaya terus bersemangat dan berprestasi lebih tinggi pada masa depan.
“Ini adalah satu cara bagaimana kerajaan menghargai atlet-atlet kita supaya lebih bersemangat lagi supaya atlet kita dihargai dan ini bukan lah noktah tetapi permulaan untuk kita berjuang dengan lebih hebat lagi untuk temasya-temasya akan datang, khususnya pada 2026.
“Pada hari ini juga saya ingatkan bahawa pada 2027 kita akan menjadi hos untuk Sukan SEA, jadi persiapan yang rapi, persiapan yang hebat itu perlu dilakukan dari sekarang oleh semua pihak, bukan sahaja di pihak penganjur tetapi juga jurulatih, atlet dan semua pasukan-pasukan yang akan bertanding nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan insentif pada Majlis Penyampaian SHAKAM Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN 2025 di sini hari ini.
Turut hadir timbalannya Mordi Bimol, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Datuk Dr K Nagulendran dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MAN) Jefri Ngadirin.
-- BERNAMA