JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Minta Bantuan Kesan Remaja Lelaki Hilang Di Sungai Buloh

05/02/2026 12:55 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Polis memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mencari seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata laporan kehilangan Hazqil Hajid Ahmad Hamdan diterima pada 6.38 petang semalam daripada ibunya setelah remaja itu tidak pulang ke rumah.

Beliau berkata Hazqil Hajid mempunyai ketinggian 183 sentimeter dengan berat 77 kilogram dan berambut pendek lurus berwarna hitam.

“Lokasi terakhir Hazqil Hajid dilihat ialah di Jalan Sp 3/9, Sri Pristana, Saujana Utama, Sungai  Buloh manakala pakaian terakhirnya baju-T kadet polis berwarna biru gelap dan seluar trek hitam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Orang ramai yang menjumpai atau mempunyai sebarang maklumat mengenai kedudukan remaja berkenaan diminta menghubungi Sarjan Norsamsila Daud di talian 017-870 1889 atau balai polis berdekatan.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2520351