KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Seorang lagi ahli kumpulan jenayah terancang, "Geng Captain Praba" ditahan dalam Operasi Jack Sparrow di Bangkok, Thailand, semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata lelaki berkenaan ditahan berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Jan lepas.
Beliau berkata penangkapan itu dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan di Bangkok, sebelum suspek dibawa pulang ke Malaysia.
“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut kerana menjadi ahli suatu kumpulan jenayah terancang dan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata semakan mendapati lelaki berkenaan turut disyaki terlibat dalam satu kes di Subang Jaya pada Januari tahun lepas melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan serta memiliki senjata maut dalam rusuhan yang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata lelaki berkenaan dituduh di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan hari ini di Mahkamah Sesyen Sepang, manakala bagi pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 kanun sama akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand atas kerjasama erat yang diberikan dan menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat diutamakan,” katanya.
Pada 1 Feb lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata pihaknya sedang giat memburu baki 15 lagi ahli "Geng Captain Praba" yang dipercayai masih bebas.
Sebelum ini, PDRM berjaya membawa pulang tiga individu yang disyaki ahli kumpulan sama dari Mumbai, India dan seorang lagi yang diekstradisi dari Thailand pada 31 Jan lepas.
"Geng Captain Praba" yang dikaitkan dengan pelbagai kes jenayah kekerasan dan samun bersenjata api adalah antara kumpulan penjenayah yang paling dikehendaki oleh pihak berkuasa.
-- BERNAMA